Berita Hari Ini

‘Batalkan dasar izin warga asing beli hartanah RM600,000’

Perikatan Nasional (PN) mesti membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang menurunkan harga mininum hartanah yang ingin dijual kepada warga asing kepada RM600,000.

Ketua Penyelaras Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad, berkata dasar diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini akan menyebabkan komposisi bandar di negara ini berubah.

Katanya struktur masyarakat juga akan berubah dengan kebanjiran warga asing yang membeli hartanan di negara ini.

“Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah sampingan yang datang dengan tenaga kerja asing dan kita akan menambah masalah dengan polisi baru ini.

“Kerajaan baru mesti membuktikan mereka berbeza daripada kerajaan lama. Polisi-polisi yang tidak menguntungkan rakyat mesti dibatalkan atau dipinda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun lalu kerajaan PH mengumumkan dasar untuk menurunkan harga ambang hartanah yang boleh dibeli rakyat asing, iaitu daripada RM1 juta kepada RM6,000.

Bagaimanapun dasar yang sepatutnya berkuat kuasa dari 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini hanya melibatkan pangsapuri yang tidak terjual dan berada di kawasan bandar.

Tak ada masalah

Dasar itu dijangka dikuatkuasakan di tiga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang berada di bawah kerajaan persekutuan.

Untuk lokasi lain, terpulang kepada kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada mereka akan melaksanakan dasar itu atau tidak.

Iskandar berkata kerajaan sepatutnya tidak membantu pemaju yang gagal menjual hartanah masing-masing kerana sebelum memulakan projek tersebut, kajian pasaran sepatutnya sudah dibuat lebih awal.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan patut membantu pemaju membina rumah mampu milik kerana rakyat masih menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri.

“Harga minimum RM600,000 adalah rendah berbanding pendapatan rakyat negara asing seperti Singapura dan Hong Kong.

“Nilai RM600,000 adalah bersamaan dengan S$196,656 untuk Singapura atau HK$1,124,279 untuk Hong Kong,” katanya.

Gambar fail

Iskandar yang juga bendari PAS Pusat menambah, faktor pendapatan isi rumah juga wajar dibandingkan untuk menilai harga RM600,000 itu.

Di Malaysia, katanya, pendapatan median isi rumah adalah RM6,275 sebulan (bagi kumpulan M40) dan harga rumah RM600,000 itu bersamaan dengan 95.60 bulan pendapatan bulanan mereka.

“Bagi rakyat Singapura, pendapatan median isi rumah mereka adalah S$9,293 atau RM28,325 dan ini bersamaan dengan hanya 21.16 bulan pendapatan bulanan mereka.

“Bagi rakyat Hong Kong pula, pendapatan median isi rumah adalah HK$28,100 atau RM14,974 dan ini bersamaan dengan 40 bulan pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Oleh yang demikian, kata Iskandar, harga rumah minimum yang dilonggarkan itu adalah terlalu rendah bagi rakyat asing seperti Singapura dan Hong Kong.

“Rakyat negara asing tidak akan menghadapi masalah untuk membelinya. Rumah-rumah tersebut akan laku dijual seperti pisang goreng panas,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");