Berita Hari Ini

Boleh Pilih Mahu Teruskan Atau Tangguh Bayaran Pinjaman: BNM

SHAH ALAM – Pelanggan bank yang tidak mahu memanfaatkan kelonggaran penangguhan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan untuk enam bulan boleh meneruskan bayaran balik seperti biasa.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan menjelaskan, bagi individu mahukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu memanfaatkan perkara itu pula perlu mengambil maklum bahawa kadar faedah pembayaran balik pinjaman bank tetap akan diambil kira atas penangguhan bayaran berkenaan.

“Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan.

“Peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan,” kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

Tambah BNM, fleksibiliti yang berkuatkuasa bermula 1 April itu bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Katanya, tawaran itu diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

“Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh tiga tahun dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik,”katanya.

Dalam masa sama, menurut BNM institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka.

“Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit syarikat korporat.

“Bank telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS), dengan mengambil kira gangguan bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan,”katanya.

BNM berkata, fleksibiliti yang diumumkan merupakan sebahagian daripada langkah baharu yang akan disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2020.

Ia demi menangani cabaran yang dihadapi oleh individu dan sektor perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19 selain mengekalkan pekerja dan memastikan kelangsungan perniagaan yang berdaya maju.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");