Perak Hari Ini

DAP Perak nafi ADUN mereka lompat parti

IPOH – Tak benar. Itu respon ringkas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menafikan laporan sebuah portal kononnya terdapat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu akan melompat.

Desas-desus itu timbul selepas kerajaan Perak berkemungkinan bertukar dengan gabungan Muafakat Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan.

Kor Ming yang ditemui malam tadi selepas mesyuarat bersama komponen Pakatan Harapan (PH) Perak di Wisma DAP Perak bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Dalam laporan sebuah portal berita semalam, seorang Exco Perak mendedahkan terdapat dua ADUN DAP dan seorang ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melompat parti menyokong kerajaan baharu.

Tanpa mendedahkan nama ADUN-ADUN tersebut, Exco yang enggan dikenali itu berkata, situasi itu berlaku susulan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa kerajaan negeri akan mengikut sepertimana kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ditanya mengenai mesyuarat PH Perak yang diadakan, Kor Ming enggan mengulas lanjut tetapi memaklumkan ia berkaitan perkembangan politik semasa.

Antara pimpinan yang dipercayai hadir pada mesyuarat itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh; Naib Pengerusi PKR Perak, Baldip Singh dan beberapa pimpinan lain.

Kerajaan PH Perak tumbang selepas kehilangan majoriti susulan tindakan Bersatu keluar daripada pakatan tersebut.

Daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, PH kini memiliki 28 kerusi manakala BN mempunyai 25 kerusi, Pas (3), Bersatu (2) dan bebas satu kerusi.

Gabungan Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas hanya memerlukan sokongan dua ADUN untuk membolehkan kerajaan baharu di Perak terbentuk.

Semalam, sumber rapat di dalam Muafakat Nasional memaklumkan kesemua ADUN UMNO dan Pas sudah menandatangani akuan bersumpah mencalonkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu menggantikan Ahmad Faizal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");