Berita Hari Ini

Derma Saudi, Jho Low dalang antara 5 hujah utama pembelaan Najib

Peringkat pembelaan bagi perbicaraan kes dana SRC International berjumlah RM42 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak selesai hari ini, iaitu pada hari ke-91 perbicaraan.

Hari ini merupakan hari ke-33 peringkat pembelaan dengan 19 saksi dipanggil pasukan pembelaan.

Najib dibicarakan bagi pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, berkiatan RM42 juta dana SRC International, yang dahulunya merupakan subsidiari kepada 1MDB.

Peringkat pembelaan tamat selepas saksi terakhir, pegawai SPRM Regjit Singh, memberikan keterangan singkat di akhir prosiding.

Berikut ialah lima hujah utama pasukan pembelaan sejak peringkat pembelaan bermula pada 3 Disember lalu.

Najib tiada kepentingan peribadi dalam SRC International

Peguam mendakwa Najib tiada kepentingan peribadi dalam syarikat itu, yang dahulunya merupakan subsidiari 1MDB sebelum diletakkan sepenuhnya di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada hari pertama pembelaan, Najib dalam keterangannya berkata tindakannya melibatkan syarikat itu dibuat demi kepentingan negara.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang kepentingan peribadi dalam SRC, tetapi hanya atas kapasiti sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, serta tugasnya untuk bertindak demi kepentingan kerajaan.

Ketika prosiding hari ini, Shafee dalam pernyataan pembukaan berkata tindakan Najib berkaitan SRC mendapat sokongan atau kelulusan daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Kewangan, Perbendaharaan Negarai dan/atau kabinet.

Sebelum ini, beberapa saksi turut memberitahu SRC menjadi milik penuh MKD pada awal 2012. Pada tahun itu, Najib merupakan menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Akaun bank Najib didakwa disalah urus dan dalangnya ialah Jho Low

Peguam berulang kali bersandar pada hujah bahawa Jho Low, dan kemungkinan penglibatan CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil, telah menguruskan akaun Najib secara salah, membawa kepada kemasukan RM42 juta.

Ketika peringkat pembelaan, Najib berkata beliau tidak tahu mengapa Jho Low memasukkan jutaan ringgit ke akaun peribadinya memandangkan Nik Faisal merupakan satu-satunya yang diberi kuasa mengendalikan akaun tersebut.

Beliau turut mendakwa ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal berkenaan keadaan sebenar akaunnya.

Nik Faisal dan Jho Low

Najib percaya RM42 juta daripada derma kerabat Arab Saudi

Sejak awal, pasukan pembelaan dengan jelas bersandar pada hujah yang Najib percaya RM42 juta yang masuk ke akaun peribadinya adalah daripada sumbangan yang diterima daripada kerabat Arab Saudi, yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion.

Mereka bergantung kepada empat surat yang didakwa ditandatangani oleh Putera Saud Abdulaziz al-Saud, yang dikatakan tulen, untuk mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib.

Pendakwaan menyatakan wang RM42 juta itu masuk ke akaun Najib antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Catatan “bersetuju” tak bermaksud arahan, muktamad

Pembelaan juga berhujah bahawa catatan “bersetuju” oleh Najib dalam surat permohonan pinjaman SRC International kepada KWAP bukan bermakna ia adalah arahan yang perlu diikut badan itu.

Dalam keterangannya, Najib berkata catatannya dalam surat permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion pada 2015 tidak bermaksud arahan kepada CEO KWAP ketika itu, Azian Mohd Noh untuk meluluskan permohonan itu.

Katanya, sebagai menteri kewangan, beliau tiada kuasa untuk memastikan panel pelaburan KWAP meluluskannya.

Pendakwaan pula bersandar kepada hujah bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke akaun Najib boleh dikesan pada RM4 bilion yang dipinjamkan KWAP kepada SRC antara akhir 2011 hingga awal 2012.

Azian Mohd Noh

Wang masuk ke akaun bukan kesalahan kalau tak tahu

Hari ini, saksi pembelaan Dzulkifli Ahmad, iaitu bekas ketua pesuruhjaya SPRM, dalam keterangannya berkata, kemasukan RM42 juta ke akaun peribadi Najib tidak semestinya satu kesalahan kecuali ia dibuat dengan niat dan pengetahuan.

Saksi ke-17 itu berkata, keputusan bekas peguam negara Mohamad Apandi Ali untuk membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan berkaitan kes RM42 juta itu adalah kerana siasatan SPRM gagal menunjukkan Najib tahu bahawa wang itu daripada SRC.

Zulkifli berkata, faktor “tahu” adalah perkara utama untuk sebarang cadangan untuk mendakwa Najib bagi kes penyelewengan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Beliau juga berkata keputusan untuk membersihkan Najib adalah kerana SPRM gagal membuktikan ada arahan daripada bekas perdana menteri itu agar wang tersebut dipindahkan ke akaunnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");