Berita Hari Ini
Like

Jakim tubuh pasukan khas uruskan jenazah mangsa Covid-19

March 22, 2020
308 Views
0 Comments
1 minute read
Jakim tubuh pasukan khas uruskan jenazah mangsa Covid-19

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menubuhkan pasukan khas pengurusan jenazah bagi membantu menguruskan mayat pesakit wabak koronavirus (Covid-19) yang beragama Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, langkah tersebut diambil selepas jumlah kematian membabitkan pesakit Covid-19 mengalami peningkatan.

“Pasukan yang ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac lalu.

“MKI bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pandangan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada masa sama, Hakimah berkata, seramai 18 petugas khas pengurusan jenazah diarah bersiap sedia yang terdiri daripada pegawai Jakim, masjid-masjid utama di bawah Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan serta seorang penyelaras,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.