Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Sedang Giat Aplikasi Teknologi Mesra Alam

KUALA KANGSAR: Kerajaan Perak menyeru semua pihak untuk turut serta dalam menggerakkan agenda menangani krisis perubahan ilkim.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri sedang giat berusaha dalam mengaplikasikan teknologi-teknologi mesra alam.

Antaranya kata beliau ialah dengan memberi fokus kepada penghasilan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti pemasangan panel solar di premis-premis kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, selain teknologi ‘waste to energy’.

“Usaha juga sedang digerakkan bagi mewujudkan program wakaf dan sumbangan panel solar untuk masjid-masjid dan rumah ibadat di negeri ini.

“Program yang bertujuan mempromosikan teknologi hijau ini juga, berfungsi sebagai serampang dua mata untuk menjana pendapatan kepada masjid-masjid dan rumah-rumah ibadat di negeri Perak,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Perak juga merancang dengan menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat.

“Buat permulaan, Kerajaan Perak telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menukar kesemua teksi merah jambu di pulau berkenaan dengan van berkuasa elektrik.

“Perkara ini dapat dilaksanakan melalui bantuan peruntukan khas yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri ke-7, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Disember yang lalu,” katanya.

Dengan nada sedikit serak, pada masa sama Ahmad Faizal turut berkesempatan menzahirkan penghargaan kepada Mahathir.

“Bagi pihak Kerajaan Perak, patik ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ayahanda Tun yang tercinta, di atas segala kebaikan, jasa dan bakti yang dicurahkan kepada nusa dan bangsa.

“Patik dan sekalian rakyat tentu sekali akan meneruskan setiap usaha dan perjuangan Ayahanda Tun dalam membina nusa dengan menitikberatkan soal integriti dan menolak kemungkaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya, dekat sini, hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa sebanyak 600 pokok telah ditanam pada tahun lalu yang melibatkan kawasan seluas 22 hektar di kawasan Sayong, dekat sini.

Malah katanya bilangan pokok tersebut akan terus ditambah oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dari semasa ke semasa.

“Patik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas kesudian menyumbangkan pokok-pokok yang ditanam di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

“Sebanyak 630 pokok telah ditanam di sini sejak 11 Februari lalu, bermula daripada Jam Besar Kuala Kangsar sehingga ke sekeliling Istana Iskandariah.

“Antara spesies pokok yang ditanam adalah seperti Pokok Ara, Pokok Kelumpang Burung, Pokok Tembusu Tikus, Pokok Merlimau, Pokok Buah Asam Gelugor, Pokok Medang Pasir dan Pokok Kopsia Arborea,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");