Perak Hari Ini

Sultan Perak Seru Semua Pihak Pelihara Kelestarian Alam Sekitar

KUALA KANGSAR: Semua pihak sama ada dalam kalangan masyarakat, kerajaan mahupun agensi swasta diseru untuk berusaha menjamin kelestarian alam sekitar di negara ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah demi usaha tersebut tindakan adaptasi dan mitigasi juga perlu dirintis serta dilaksanakan secara serius.

Titah Baginda, aktiviti menanam pokok dalam skala yang besar merupakan satu langkah proaktif yang berupaya menangani ancaman perubahan iklim.

Titah Baginda lagi, perubahan iklim dan pemanasan global berlaku akibat daripada pembangunan fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang, hingga ke peringkat yang tidak lagi dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

Sultan Nazrin bertitah, kemungkinan pupusnya pokok-pokok asli seperti yang bakal dihadapi di beberapa negara luar seharusnya juga menjadi kebimbangan rakyat di negara ini.

Hal ini kerana Baginda menyifatkan pokok-pokok asli merupakan khazanah semula jadi yang dikurniakan Tuhan.

“Tidak terlalu lama dahulu, menjadi budaya orang Melayu terutamanya di desa, menanam sebatang pokok menandakan kelahiran seorang bayi. Sama ada pokok pisang, pinang atau buah.

“Tanpa menyedari bahawa adalah amalan tersebut telah menyeimbangkan sistem ekologi secara semula jadi.

“Pepatah Cina menyebut, “Waktu terbaik menanam pokok ialah dua puluh tahun lalu; waktu kedua terbaik menanam pokok ialah pada hari ini”,”titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian semasa menyempurnakan sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya, dekat sini, hari ini.

 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi, serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Sultan Perak bertitah sejak dua bulan lalu, sebanyak 633 batang pokok telah ditanam di sekitar Bandar Kuala Kangsar.

Titah Baginda lagi, aktiviti penanaman pokok yang mendapat khidmat nasihat pakar dari Tunas Harapan Nursery, Behrang itu merupakan fasa pertama program tanggungjawab sosial korporat Tenaga Nasional Malaysia (TNB) bersama-sama Kerajaan Perak dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Titah Baginda, usaha tersebut hendaklah diteruskan selain menyeru komuniti setempat, sekolah, masjid, dan pelbagai pihak lain untuk terus aktif dalam menghijaukan Bandar Kuala Kangsar.

“Bermula daripada 633 pokok yang ditanam pada Januari ini, semoga dapat mencecah angka 10,000 pokok di Kuala Kangsar, dan seterusnya dapat mencecah 100,000 pokok di seluruh negeri pada Januari 2021.

“Merimbunkan kehijauan di Bandar Diraja ini, dan menghijaukan seluruh negeri Perak hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama,” titah Sultan Nazrin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");