Berita Hari Ini

‘Salur Maklumat Peserta Program Tabligh Di Sri Petaling’

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jemaah masjid yang menghadiri program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, pada 28 Februari lalu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ketika ini hanya kira-kira 1,500 peserta yang berdaftar dengan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Orang ramai yang mengetahui ahli keluarga, jiran-jiran atau rakan-rakan yang menghadiri program tabligh itu diminta tampil memberikan maklumat.

“Sehingga kini KKM tidak ada menghubungi pihak polis untuk membantu mengesan peserta jemaah tabligh yang terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya hanya boleh menasihatkan jemaah yang hadir pada program tabligh itu untuk hadir secara sukarela bagi menjalani pemeriksaan COVID-19.

Acryl Sani berkata ketika perhimpunan jemaah tabligh itu berlangsung, pihaknya telah menugaskan 61 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Cheras bertugas di sana.

“Ketua Polis Daerah Brickfields telah mengenal pasti kesemua 61 pegawai dan anggota yang terbabit dan akan menjalani saringan kesihatan dengan KKM,” katanya.

Beliau berkata ketika ini sebahagian peserta tabligh telah tampil untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19.

Pada 12 Mac lalu Bernama melaporkan masjid berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Februari lalu disahkan positif COVID-19.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");