Berita Hari Ini

Shafee dikuarantin sampai keputusan ujian Covid-19

Kementerian Kesihatan telah mengarahkan peguam veteran Muhammad Shafee Abdullah menjalani kuarantin sementara mendapatkan keputusan ujian Covid-19 yang hanya diketahui secepatnya esok.

Hal ini didedahkan oleh peguam Noor Farhah Mustaffa ketika dia mengemukakan surat daripada Kementerian Kesihatan dan sepucuk lagi surat daripada hospital swasta KPJ Damansara kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah semasa sebutan kes Najib Razak pagi ini yang didakwa menyelewengkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Semalam, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Farhah menyediakan dua surat rasmi, satu dari Hospital Sungai Buloh dan satu lagi dari Kementerian Kesihatan, yang mengesahkan Shafee dan pasukan pembelaan Najib perlu dikuarantin.

Akibatnya, perbicaraan kes bekas perdana menteri yang telah ditangguh selama empat bulan tidak dapat bersambung semula semalam.

Ketika prosiding mahkamah hari ini yang dihadiri Najib, peguam Farhah yang mewakili Shafee memberitahu hakim bahawa Shafee dan peguam lain yang memiliki kontak rapat telah melakukan pemeriksaaan ujian Covid-19 di pusat perubatan KPJ Damansara semalam.

Peguam itu berkata pegawai perubatan KPJ Damansara mengarahkan Shafee dan peguam lain untuk mengkuarantin diri mereka sehingga dapat diketahui keputusan ujian Covid-19 sama ada petang ini atau esok.

Farhah memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesemua pasukan perundangan Shafee juga akan diuji Covid-19 tidak lama lagi, kerana semalam mereka tidak dapat melakukan ujian yang sepatutnya dilakukan di Klinik Kesihatan Tanglin di Kuala Lumpur, kerana antara lainnya kit ujian telah habis.

Pada ketika itu, DPP Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan peguam bela Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes RM2.28 bilion 1MDB ini.

DPP berkata beliau dan seluruh pasukan pendakwaan 1MDB juga akan menjalani ujian Covid-19 hari ini.

“(Ujian ini disebabkan kebimbangan risiko jangkitan) pesakit sekunder ke orang lain,” kata Akram.

Sequerah kemudian membenarkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan prosiding akan bersambung semula pada Khamis dan Jumaat minggu depan, tertakluk kepada keputusan ujian Covid-19 Shafee serta pasukan pendakwaan.

Hakim kemudian mengarahkan Farhah mengemaskini mahkamah mengenai hasil ujian Covid-19 terhadap Shafee pada hari Isnin minggu depan, untuk membantu mahkamah menentukan sekiranya perbicaraan itu benar-benar boleh diteruskan pada hari Khamis dan Jumaat minggu depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");