Perak Hari Ini

Tiga Pusat Informasi Pelancongan Di Perak Sedang Dinaiktaraf

IPOH: Kerajaan Perak sedang giat menaiktaraf tiga Pusat Informasi Pelancongan iaitu di Ipoh, Selama dan Pulau Pangkor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata kerajaan negeri menerusi Tourism Perak telah memperuntukkan RM120,000 bagi kerja-kerja menaiktaraf Pusat Informasi Pelancongan Ipoh.

Sementara katanya dana sebanyak RM65,000 dan RM80,000 masing-masing telah diperuntukkan kepada Pusat Informasi Pelancongan Selama dan Pangkor bagi projek yang sama.

Jelasnya kerja-kerja menaiktaraf itu dilakukan berikutan perkembangan produk-produk dan sektor pelancongan di Perak yang mula menunjukkan impak positif.

“Hasrat kita ialah supaya semua produk dan informasi berkenaan pelancongan di Perak dapat ditempatkan di bawah satu bumbung selain dapat memberi kemudahan yang selesa kepada pelancong,” katanya.

 

Mengulas tentang Pusat Informasi Pelancongan Ipoh, Kar Hing berkata ianya akan dilengkapi dengan empat ruangan yang menempatkan ruangan sejarah Ipoh, sejarah Datuk Bandar, informasi Jejak Warisan Ipoh serta pengenalan berkenaan Negeri Perak.

Selain itu katanya, ianya juga akan dilengkapi dengan ruangan khas yang membolehkan para pengusaha kraf tangan atau seni budaya untuk menganjurkan sebarang program seperti bengkel atau pameran.

Katanya lagi, kerja-kerja menaiktaraf bangunan itu yang telah bermula pada 11 Februari lalu dijangka siap pada 9 Mei nanti.

“Bangunan ini akan ditutup sementara waktu dan buat ketika ini, para pelancong yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkenaan pelancongan boleh ke premis WOW Perak di Jalan Sultan Yussoff, di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan kerja meninjau kerja-kerja menaiktaraf Pusat Informasi Pelancongan Ipoh di sini, hari ini.

Sementara itu, Kar Hing berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf Galeri Pangkor.

“Projek menaiktaraf itu bertujuan menjadikan Galeri Pangkor bukan sahaja sebagai pusat informasi pelancongan malah ianya dapat menjadi pusat penceritaan sejarah dan keunikan Pulau Pangkor yang dikenali sebagai pulau nelayan kepada pelancong.

“Projek itu juga akan dijalankan pada tahun ini oleh Majlis Perbandaran Manjung,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");