Berita Hari Ini

85 kes baharu Covid-19 hari ini, terendah sejak sebulan lepas

HANYA 85 kes baharu positif Covid-19 dikesan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menjadikannya kali pertama sejak sebulan lalu Malaysia mencatatkan kurang dari 100 kes baharu dalam masa 24 jam.

Kali terakhir Kementerian Kesihatan mengesan kurang 100 kes jangkitan baharu dalam sehari ialah pada 14 Mac lalu iaitu sebanyak 41 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga melaporkan 169 pesakit Covid-19 pulih setakat tengah hari tadi, iaitu dua kali ganda berbanding kes jangkitan baharu hari ini.

Setakat tengah hari tadi, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,072 kes.

Daripada jumlah itu, 2,342 kes masih dirawat, dengan 56 kes berada di Unit Rawatan Rapi dan 32 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala, 2,647 kes atau 52.2% daripada jumlah keseluruhan disahkan pulih dan dibenar keluar hospital.

Hanya satu kematian kerana Covid-19 dilaporkan hari ini, melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 69 tahun dengan sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau mula dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac lalu tetapi meninggal dunia hari ini pada jam 6.41 pagi tadi.

Kematian terbaru itu menjadikan jumlah korban wabak Covid-19 di Malaysia kini mencecah 83 orang.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan juga berkata hasil pelaksanaan dua fasa perintah kawalan pergerakan kini dapat dilihat apabila kes baharu Covid-19 “terkawal tanpa kenaikan mendadak”.

“Manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari. Ini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP, seperti yang dapat dilihat pada tren jumlah kes aktif harian,” katanya.

Malaysia melaksana PKP sejak 18 Mac lalu dan sudah dua kali melanjutkannya, fasa ketiga PKP bermula hari ini sehingga 28 Mac depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");