Perak Hari Ini

Covid-19: Kampar, Mualim dan Kuala Kangsar Zon Hijau Di Perak

IPOH – Tiga daerah di Perak iaitu di Kampar, Mualim dan Kuala Kangsar dikenal pasti sebagai zon hijau Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata walaupun ia adalah berita yang baik namun bukan bermakna penduduk di daerah-daerah tersebut bebas untuk keluar ke mana-mana.

“Ada gurauan dalam kalangan kami yang menyebut penduduk di daerah tersebut tidak mahu kedatangan orang dari daerah lain kerana tidak mahu menukarkan status zon hijau itu.

“Namun gurauan itu bermakna kita tidak mahu zon hijau itu bertukar kepada zon jingga atau merah. Kita mahu ia kekal kepada zon hijau.

“Seterusnya kita mahu zon hijau ini merebak ke daerah-daerah lain yang akhirnya Insyallah satu hari nanti bukan sahaja Perak, malah seluruh negara dan dunia akan bebas Covid-19 serta kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Faizal yang juga memangku portfolio kesihatan negeri berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga di Perak menunjukkan perkembangan yang baik.

Walaupun tiada sebarang kes baharu dalam fasa yang baru bermula semalam ini, beliau turut berharap agar rakyat dapat terus bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang sedang melanda negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata tiga daerah yang dikategorikan sebagai zon hijau itu adalah berdasarkan tiada sebarang kes baharu wabak tersebut dicatatkan di daerah-daerah terbabit dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini.

“Kita harus berterusan untuk kekal duduk di rumah, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa memastikan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan di Perak sentiasa mencukupi.

Jelasnya setakat ini jumlah PPE mencukupi bagi antara tempoh dua minggu sehingga dua bulan lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");