Perak Hari Ini

Kaunter Drive-Thru Antara Kaedah Pembayaran Zakat Di Negeri Perak

IPOH- Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) menetapkan garis panduan bagi pembayaran Zakat Harta dan Zakat Fitrah di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui tiga kaedah.

Kaedah yang boleh digunakan oleh umat Islam di negeri ini adalah melalui bayaran menggunakan saluran atas talian, bayaran melalui Amil (Kaedah Manual) dan bayaran terus melalui Tabung Khas Fitrah.

Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata lazimnya bayaran boleh dilakukan di kaunter-kaunter Ibu Pejabat dan Cawangan MAIPK di semua daerah, melalui Amil-Amil Harta dan Profesional, Perunding Zakat.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh PKP bayaran Zakat Fitrah boleh ditunaikan mengikut kaedah atas talian yang mana menjadi keutamaan.

“MAIPk menyediakan kemudahan bayaran secara online dengan beberapa pilihan dan platform seperti QR Code Maybank, aplikasi Snap N Pay, Financial Process eXchange (FPX) melalui Portal MAIPk.

“Tatacara kutipan zakat fitrah oleh Amil pula dengan kaunter Drive-thru, ia akan diwujudkan di masjid-masjid utama daerah dan juga masjid yang berada di tepi jalan besar.

“Ia akan beroperasi dalam tempoh masa yang terhad antara jam 9 pagi hingga 12 tengahari (Selasa dan Rabu serta Sabtu dan Ahad). Amil yang dilantik akan bertugas secara penggiliran.

“Penjarakkan sosial juga akan dikawal selia dan tiada proses bersalaman dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kaedah bayaran secara langsung terus kepada amil hanya akan dilaksanakan dalam dua keadaan warga tua yang uzur, tidak mempunyai kemahiran menggunakan kemudahan online dan masyarakat yang berada di kawasan komuniti pedalaman dan perkampungan yang tidak mempunyai kemudahan alat komunikasi dan akses internet yang baik.

“Amil akan bergerak dari rumah ke rumah menemui pembayar di tempat tertentu (seperti halaman rumah, pagar dan dihadapan pintu sahaja) malahan mereka dibekalkan dengan kad kuasa, peralatan pencegahan wabak dan kupon rasmi zakat fitrah MAIPK 144H/2020OM.

“Kaedah ini akan dapat mengelak dan mengurangkan pergerakan dan perkumpulan masyarakat dalam jumlah yang ramai di sesuatu tempat dalam tempoh PKP,” katanya.

Sementara itu katanya, bayaran terus melalui Tabung Khas Fitrah ini akan diwujudkan di masjid-masjid tertentu, Hospital dan Pejabat polis terpilih bagi memudahkan masyarakat dan petugas barisan hadapan menunaikan zakat fitrah dengan sangat mudah dan cepat.

“Pembayar hanya perlu memasukkan jumlah fitrah, maklumat pembayar dan nombor telefon ke dalam sampul seterusnya memasukkannya ke dalam tabung berkenaan. Kupon Fitrah akan diberi kepada pembayar setelah tamah tempoh PKP,” katanya.

Tambah beliau, kadar zakat fitrah masih kekal dengan kadar pilihan RM7, RM14 dan RM21.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membenarkan masyarakat yang kurang berkemampuan membayar zakat fitrah bagi diri dan tanggungannya, harus menjelaskan sebahagian pada kadar kemampuannya.

“Contohnya, seperti dia dan tanggungannya ada 8 orang, jika dia hanya mampu menjelaskan bayaran zakat fitrah hanya bagi 5 orang, maka dia telah pun menunaikan ibadah zakat tersebut.

“Bagi bayaran zakat harta pula dilakukan menerusi atas talian iaitu FPX Portal MAIPk, Online Banking, MyEG, JomPay, SnapNPay dan GoPayZ,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");