Berita Hari Ini

COVID-19: Waspada obesiti kerana resepi viral ketika PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung pandemik COVID-19, sewajarnya dimanfaatkan oleh sesisi keluarga untuk menyediakan makanan sihat dan berkhasiat.

Pakar Nutrisi, Profesor Madya Dr Hamid Jan, berkata amalan penyediaan makanan di rumah, sekiranya dilakukan mengikut cara yang sihat, memberi pelbagai faedah dan manfaat pada tubuh.

Beliau berkata, peluang memasak di rumah adalah kuasa autonomi yang membenarkan setiap jenis ramuan dipilih serta disukat secara sihat dan berkhasiat.

“Makan di rumah sebenarnya jauh lebih sihat, berbanding jika kita makan di kedai, tetapi ia tetap tertakluk kepada cara penyediaan sesuatu masakan itu.

“Ketika inilah kita perlu menggunakan sebaiknya kesempatan yang ada untuk menyediakan hidangan sihat buat seisi keluarga, setelah sebelum ini kesempatan itu dibataskan dengan kesibukan bekerja atau urusan lain,” katanya kepada BH ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Hamid berkata, orang ramai khususnya kaum wanita seharusnya tidak terpengaruh dengan pelbagai resipi yang tular di media sosial, bagi mengelakkan implikasi tidak sihat sebaik sahaja PKP berakhir.

Mengulas lanjut beliau berkata, ramai tidak menyedari bahawa obesiti adalah ibu kepada segala penyakit tidak berjangkit (NCD) atau lebih dikenali sebagai tiga serangkai, terdiri daripada hipertensi, diabetes dan jantung.

“Kita kena ingat, setiap lebihan kalori yang tidak dibakar akan bertukar menjadi lemak di dalam badan.

“Lemak ini tidak kelihatan, tetapi sedikit demi sedikit akan menebal di bawah lapisan kulit dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengasas dan pemilik bersama AF Fitness Consultancy, Rohani Yaman, berkata kesempatan duduk di rumah sepanjang PKP bukan alasan untuk tidak bergerak aktif.

“Ada pelbagai gerakan senaman yang bolwh dilakukan di dalam rumah, tak perlu kita ke gimnasium atau ke tasik rekreasi semata-mata.

“Terlalu banyak aktiviti boleh dilakukan, apa yang perlu hanya menyesuaikan semua gerakan itu mengikut keperluan atau pilihan masing-masing,” katanya.

Rohani yang juga jurulatih kecergasan bertauliah berkata, PKP juga wajar digunakan sebagai medan untuk memupuk tabiat pemakanan sihat, termasuk jadual makan yang teratur.

“Makan lima kali sehari, iaitu tiga waktu utama, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, dengan kumpulan pemakanan yang lengkap, diikuti dua hidangan ringan di antara waktu makan utama boleh membantu mengurangkan ketagihan pada tabiat mengudap,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");