Berita Hari Ini

Cuepacs tolak cadangan bos Mydin potong gaji penjawat awam

PETALING JAYA: Pemimpin kesatuan sekerja perkhidmatan awam terbesar negara hari ini menolak cadangan seorang ahli perniagaan terkenal supaya penjawat awam berpendapatan lebih RM3,000 sebulan menerima potongan gaji berikutan penurunan hasil kerajaan susulan pandemik Covid-19.

Adnan Mat

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, ramai penjawat awam adalah termasuk dalam kelompok B40 dan M40 dengan pendapatan purata bersih hanya kira-kira 20% daripada gaji mereka berikutan pelbagai potongan, antaranya pinjaman perumahan dan kereta.

“Rata-rata pendapatan bersih penjawat awam ialah 20% (daripada gaji). Ini untuk kita berbelanja. Jadi ada potongan, ia boleh menjejaskan ruang perbelanjaan penjawat awam,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perbelanjaan penjawat awam di pasar dan kedai membantu merangsang ekonomi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, penjawat awam terkilan atas cadangan Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, yang merupakan pasar raya terkenal dalam kalangan mereka.

Ameer semalam berkata, hasil kerajaan akan merosot bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport komoditi utama negara seperti minyak dan minyak sawit, tetapi juga penurunan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai barangan dan jualan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

Adnan berkata, walaupun wujud moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman bank, wang lebihan itu digunakan oleh penjawat awam bagi menampung peningkatan perbelanjaan rumah tangga berikutan mereka dan keluarga masing-masing kini berada di rumah.

Katanya, daripada 1.6 juta penjawat awam, 1.2 juta merupakan petugas barisan hadapan, termasuk 600,000 anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) atau mereka yang bekerja dari rumah.

Beliau berkata, wakil rakyat juga perlu diberikan gaji penuh kerana mereka bertanggungjawab kepada rakyat dan perlu memainkan peranan yang penting.

“Walaupun kita rasa gaji mereka besar, tetapi sebenarnya tidaklah besar. Mereka sangat rapat dengan rakyat dan kadang-kadang mereka guna duit sendiri untuk membantu rakyat.

“Kita tidak dapat nafikan peranan Adun dan ahli Parlimen apabila masalah rakyat diajukan, mereka memang membantu. Peranan besar, cuma kadang-kadang kita tak nampak.”

Ramon Navaratnam

Bekas pegawai kanan kerajaan Ramon Navaratnam berkata, pada prinsipnya, semua orang perlu berkorban, termasuk penjawat awam.

Bagaimanapun katanya potongan gaji penjawat awam harus dikenakan ke atas kelompok yang meraih pendapatan melepasi paras tertentu.

Katanya, kerajaan harus membincangkan isu itu dengan Cuepacs.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata, kerajaan perlu mencari sumber wang bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif bantuan lain yang akan memberi kesan ke atas paras defisit negara.

“Ia boleh dibiayai dengan pinjaman, simpanan atau hasil baru, termasuk cukai baru atau yang lebih tinggi. Namun, akhirnya ia perlu dibayar juga. Duit tidak tumbuh pada pokok.

“Rakyat harus sedar bahawa pengorbanan perlu dibuat. Pastilah akan ada pihak yang lebih terbeban berbanding orang lain, namun semua orang harus mengongsi beban itu.

Terdahulu, ketua setiausaha negara, Mohd Zuki Ali berkata, pegawai awam dengan gred Jusa C ke atas akan menyumbang antara 5 hingga 10% daripada elaun tetap mereka kepada tabung Covid-`19.

Ahli ekonomi dari Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, kontrak pekerjaan penjawat awam mesti dihormati, atau sebaliknya kerajaan akan diseret ke mahkamah.

“Tambahan lagi, gaji penjawat awam rendah berbanding sektor swasta. Ini hakikat yang dimaklumi semua.

“Tetapi (kurangan) ini ditampung oleh jaminan keselamatan (pekerjaan) yang mereka perolehi daripada kestabilan gaji tanpa mengira keadaan ekonomi yang dihadapi.”

Beliau berkata kepada FMT, kakitangan sektor swasta menikamti gaji lebih tinggi kerana mereka terdedah kepada risiko lebih tinggi dari sudut keadaan ekonomi.

“Oleh sebab keadaan ekonomi sekarang merosot, mereka yang berada dalam sektor swasta tidak seharusnya mempersoalkan gaji penjawat awam.

“Mereka sepatutnya sudah menjangka kemungkinan ekonomi merosot dan menyediakan peruntukan yang perlu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");