Berita Hari Ini

Kaji Dahulu, Jangan Gopoh Henti PKP- Tun Mahathir

KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihat supaya tidak sesekali gopoh dalam menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuklah atas faktor kebimbangan kemerosotan ekonomi negara.

Bernama melaporkan, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan untuk menamatkan PKP perlu dikaji dengan amat teliti bagi memastikan wabak itu tidak menyerang kembali dengan lebih parah.

“Kenalpasti dahulu langkah-langkah pencegahan yang telah kita ambil, adakah benar-benar berjaya seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, jarak sosial dan arahan duduk di rumah… satu persatu perlu dikaji dan apa kesannya jika kita hentikan walaupun satu daripadanya.

“Apa kesannya juga jika kita tamatkan satu langkah tetapi kita teruskan langkah lain… itu semua memerlukan perhatian pakar-pakar terhadap data dan angka kerana kita tidak mahu apabila PKP ditamatkan, virus itu berkembang balik di dalam negara,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian dalam Sembang Live yang dihoskan oleh Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru dari Sunway Medical Centre Velocity, Kuala Lumpur Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa mengenai topik pandemik COVID-19 yang disiarkan menerusi Facebook beliau hari ini.

Memberi contoh Sweden, Dr Mahathir berkata negara itu telah membenarkan rakyatnya untuk keluar dari rumah ekoran yakin bahawa sudah berjaya meredakan wabak itu, namun ia kemudiannya menyerang kembali.

“Ini kita lihat sudah berlaku di beberapa tempat seperti Sweden… ini semua by trial and error… kalau kita dapati tindakan kita itu berkesan okay, tetapi kalau kita dapati tindakan kita itu menjadikan keadaan lebih buruk, kita perlu batalkan keputusan.

Dr Mahathir, yang juga seorang doktor perubatan, meramalkan dunia termasuk negara ini akan menghadapi wabak itu untuk tempoh agak lama sebelum pulih kembali, dan tidak ada seorang pun yang boleh meramal tarikh yang tepat.

“Tidak ada satu tarikh yang mana kita boleh kata, kita sudah bebas dan boleh balik seperti dahulu kala… malah kita tidak boleh tentu bila PKP akan tamat kerana respon kerajaan seharusnya bergantung mengikut keadaan terkini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak salah untuk membenarkan industri yang tidak mempunyai ramai pekerja dan banyak menggunakan robot untuk beroperasi seperti biasa, selagi mematuhi syarat yang ditetapkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");