Berita Hari Ini

K’jaan Perak digesa contohi Selangor buat e-bazar

Adun Pasir Pinji Howard Lee menggesa kerajaan Perak mengambil langkah bagi membantu nasib peniaga-peniaga makanan kecil-kecilan yang tidak dapat berniaga di bazar Ramadan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April.

Mengakui bahawa pelanjutan PKP itu langkah yang tidak dapat dielak demi kesihatan dan keselamatan rakyat, Lee menggesa kerajaan Perak mencontohi langkah kerajaan negeri Selangor dalam mewujudkan e-bazar bagi membolehkan peniaga menjana pendapatan secara dalam talian semasa PKP.

Jelas Lee, inisiatif e-bazar yang diumumkan kerajaan Selangor dengan kerjasama syarikat penghantaran Grab Malaysia itu dapat membantu peniaga yang tidak dapat mendaftar di bawah aplikasi GrabFood dan Foodpanda kerana tidak mereka mempunyai premis perniagaan.

“Persoalannya, adakan nasib peniaga-peniaga di negeri Perak dalam golongan ini juga akan terpelihara? Adakah kerajaan negeri Perak juga akan mengorak langkah yang sama?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Lee yang juga ketua Pemuda DAP, beliau sudah mengadakan perbincangan bersama pegawai kanan dari GrabFood yang dipertanggungjawabkan dalam projek khas e-bazar di Selangor.

Katanya, pihak GrabFood sedia meluaskan model operasi e-bazar di Perak mahu pun negeri-negeri lain, seperti yang diadakan di Selangor.

“Namun begitu, ia amat memerlukan kepada komitmen, hasrat, penyelarasan dan kerjasama yang tidak berbelah-bahagi daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT).

“Sukacita dimaklumkan juga bahawa, model operasi penggunaan dewan-dewan orang ramai dan serbaguna untuk memusatkan peniaga dan penjaja, pengerahan anggota penguatkuasaan, tatacara penjarakan sosial bagi peniaga, penjaja dan penghantar makanan juga telah diberi persetujuan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kesemua perkara ini memerlukan kuasa pemutusan dan kekuatan perlaksanaan PBN dan PBT.

“Dengan hanya dua minggu sebelum masuknya bulan Ramadhan, pihak GrabFood memerlukan PBN dan PBT untuk bekalkan senarai pemegang lesen peniaga dan penjaja, bagi proses pendaftaran mereka yang berkelayakan,” katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan bahawa sebanyak 15 lokasi dipilih untuk menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini.

Program berkenaan yang dinamalan E-Bazar Ramadan Selangor Grab hasil kerjasama dengan syarikat penghantaran Grab Malaysia.

Semakan di laman sesawang Grab pada bahagian Soalan Lazim program e-bazar itu menyatakan bahawa pihak Grab setakat ini hanya menerima permohonan daripada majlis perbandaran dan peniaga yang ingin menyertai program e-bazar itu dikehendaki menghubungi pihak berkuasa tempatan

Sementara itu, Lee menggesa kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani krisis Covid-19 di semua peringkat dan tidak hanya menyerahkan kepada kerajaan pusat.

“Sebelum ini, rakyat telah harungi pelbagai bentuk kesulitan dan krisis ekonomi dengan cekal. Kerap kali rakyat mandiri menjaga diri sendiri.

“Kini, mereka terdesak untuk pulihkan kehidupan kepada normal secepat mungkin.

“Justeru, di tengah-tengah kemelut peperangan melawan koronavirus hari ini, para pemimpin punya amanah untuk letak tepi sebarang sikap kepartian dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");