Perak Hari Ini

Lima GiatMara Di Perak Siapkan PPE Untuk Petugas Barisan Hadapan

GOPENG: Seramai 19 anggota kerja dan 47 sukarelawan atau lepasan pelatih GiatMara di Perak bersama-sama menyumbangkan tenaga dalam menjahit Pakaian Perlindungan Diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.

Pengarah GiatMara Negeri Perak, Dr Ismadi Ishak berkata projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan lima Pusat GiatMara di negeri ini iaitu GiatMara Parit Buntar, GiatMara Bukit Gantang, GiatMara Bagan Serai, GiatMara Gopeng dan GiatMara Gerik.

Katanya GiatMara yang terlibat mempunyai tawaran kursus menjahit pakaian lelaki dan wanita.

“Daripada 23 Mac sehingga kini, kita telah menjahit hampir 1,700 set PPE. Ia sumbangan kecil namun kita tetap mahu menyumbang melalui CSR ini,” katanya ketika ditemui di GiatMara Gopeng, dekat sini, hari ini.

Selain itu katanya, kesemua PPE yang telah berjaya disiapkan akan diserahkan kepada Hospital Teluk Intan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Sungai Siput, Hospital Gerik serta sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Medical Mythbuster Malaysia.

“CSR ini ada dua konsep. Iaitu yang pertama ada GiatMara yang mana daripada proses memotong kain sehingga siap, semuanya dilakukan di Pusat GiatMara.

“Konsep kedua pula, usahawan lepasan GiatMara ini menjahitnya di rumah masing-masing. Maknanya, hanya proses memotong kain sahaja dilakukan di pusat GiatMara. Apabila PPE siap, kita akan ambil di rumah mereka untuk proses pengumpulan dan edaran,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Siti Zaharah Mohd Arshad, 34 berkata laporan media yang memaparkan kepayahan anggota petugas kesihatan dalam membendung penularan Covid-19 telah membuatkan dirinya ingin melibatkan diri dalam CSR tersebut.

Menurut Tenaga Pengajar GiatMara Tapah itu, setiap hari dianggarkan 50 set PPE mampu disiapkan dalam satu-satu masa.

“Untuk menjahit tidak payah, cuma pada proses permulaan itu agar sukar. Ini kerana rata-rata sukarelawan perlu mempelajari cara-cara menyiapkan PPE ini dengan betul. Namun, selepas itu proses akan berjalan lancar.

“Kain fabrik yang digunakan ialah ‘non-woven’. Selain itu, berkenaan ukuran standard semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Petugas kesihatan membekalkan kain kepada kami, dan seterusnya kami akan memotong dan menjahit untuk dijadikan PPE yang lengkap,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");