Perak Hari Ini

MB Perak Umum Senarai Portfolio Exco Kerajaan Negeri

IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan senarai lapan portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah jawatan pada 31 Mac lalu.

Lapan portfolio tersebut menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggalas tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Badan Berkanun Negeri (GLC) dan Integrasi Nasional.

Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad menggalas portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna sementara Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria menggalas portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil.

Turut diumumkan, Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan; Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor (Datuk Shahrul Zaman Yahya) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Tenaga, dan Air (Datuk Abdul Yunus Jamahri).

Manakala bagi Adun Selama, Mohd Akmal Kamarudin memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan sementara Adun Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Pengumuman itu dibuat Ahmad Faizal dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu kata beliau, beberapa Exco yang dilantik juga turut akan memangku tiga portfolio-portfolio Exco yang masih belum diisi.

Ahmad Faizal akan memangku portfolio Kesihatan; Mohd Akmal memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau; Nolee ( Komunikasi dan Multimedia) sementara Shahrul memangku portfolio Belia dan Sukan.

Menurut beliau, beberapa nama Adun bagi mengisi tiga lagi kekosongan Exco telah dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan menjangkakan ia akan diisi sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik kelak.

Pada masa sama, Ahmad Faizal yakin barisan Exco yang dibentuk akan bekerja dengan kuat untuk menggalas cabaran-cabaran yang sedang dihadapi kini.

Beliau turut menyeru agar rakyat dapat memberi kerjasama, sokongan dan doa dalam mengharungi gelora ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

“Justeru, saya menyeru kepada jentera pentadbiran kerajaan dan semua rakyat untuk merenung dan memahami krisis yang sedang kita hadapi.

“Kita perlu merancang dan menyusun langkah untuk menghadapi gelombang yang lebih besar.

“Saya yakin barisan Exco yang telah kita bentuk, berkongsi niat dan iltizam yang kuat untuk merangka dan melaksanakan perancangan bagi menstabilkan sosioekonomi negeri ini untuk tempoh dua tahun akan datang, dan juga untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");