Berita Hari Ini

MOF pandang serius permohonan BPN guna dokumen palsu

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menegaskan bahawa Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hanya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang layak serta memandang serius permohonan yang dibuat menggunakan dokumen palsu.

MOF berkata demikian setelah mengambil maklum penularan di media sosial yang mendakwa bahawa terdapat warganegara asing yang menerima bantuan tersebut.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan baharu dan rayuan BPN yang dibuka dari 1 hingga 30 April 2020 telah menerima lebih 3 juta permohonan baharu dan rayuan setakat ini.

“Buat masa ini, permohonan BPN tersebut belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya. Keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada bulan Mei 2020.

“Permohonan baharu dan rayuan yang telah diterima adalah tertakluk kepada proses verifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak,” jelasnya.

Menurut MOF, permohonan tersebut akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data agensi kerajaan yang lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warganegara Malaysia di samping semakan pendapatan dengan agensi pendapatan.

Justeru itu, permohonan yang menggunakan dokumen palsu atau yang disenaraihitam akan ditolak dan tidak akan menerima BPN.

“Diingatkan bahawa sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga (3) tahun.

“Kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan. Kementerian Kewangan kekal komited dalam memastikan semua bantuan Kerajaan adalah berkesan dan membantu kumpulan sasar yang ditetapkan,” tambah kementerian itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");