Berita Hari Ini

‘Muhyiddin, PN mesti buktikan ketelusan kendali wang 1MDB’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya mesti membuktikan mereka telus semasa mengendalikan dana 1MDB bernilai RM1.3 bilion yang dikembalikan Jabatan Kehakiman AS, kata sebuah badan pemantau rasuah.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata hal itu dibangkitkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara ketika ini ditubuhkan bukan atas pilihan rakyat.

Selain itu, kata C4, kerajaan PN juga melibatkan orang tertentu yang ditolak pengundi sebelum ini kerana pembabitan mereka dalam skandal 1MDB.

“Berdasarkan realiti yang membimbangkan ini, kita rakyat Malaysia dipaksa untuk hidup dengannya, suatu defisit kepercayaan yang serius tidak boleh diterima.

“Justeru amat mustahak bagi Muhyiddin dan kabinetnya untuk menunjukkan tahap ketelusan maksimum dan ia adalah suatu kemestian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi Muhyiddin mengumumkan DOJ mengembalikan dana bernilai AS$300 juta (RM1.3 bilion) kepada Malaysia selepas pihak berkuasa negara itu menggantung seketika proses berkenaan ekoran berlaku pertukaran kerajaan.

Ia adalah sebahagian daripada aset yang disita DOJ selepas dipercayai diperolehi melalui penyelewengan dana syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1MDB.

DOJ menganggarkan sebanyak AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) dana daripada 1MDB diselewengkan oleh pegawai peringkat tertinggi negara serta rakan sekutunya.

Antara nama yang dikaitkan ialah bekas perdana menteri, Najib Razak, dan ahli perniagaan yang dikehendali pihak berkuasa pelbagai negara, Low Taek Jho.

Kata C4, timbul pertanyaan di mana dana yang dikembalikan DOJ itu akan disimpan dan perlukan sebuah tabung amanah ditubuhkan – seperti dirancang Pakatan Harapan sebelum ini – untuk mengendalikannya.

Sementara itu bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, A Kadir Jasin, mengingatkan rakyat Malaysia sudah pernah “ditipu” sebelum ini dan ada kemungkinan akan ditipu sekali lagi.

Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad ketika ahli parlimen Langkawi itu menjadi perdana menteri berkata, kerajaan PN ditubuhkan tanpa mandat rakyat.

Pun begitu, kata Kadir, ia mesti menghormati kebebasan badan kehakiman yang kini sedang membicarakan Najib serta beberapa pemimpin kanan Umno.

Katanya, dalam bidang kehakiman, keadilan yang dilengahkan sama seperti menafikan keadilan.

“Kalau kita lupa dan alpa kita mungkin akan kena tipu sekali lagi. Sebab itu kita kecewa dan bimbang apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan. Macam ada benda yang hendak disembunyikan atau dinafikan daripada kita,” tulisnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");