Perak Hari Ini

Nelayan Darat Ditemukan Lemas Di Tasik Chenderoh

KUALA KANGSAR: Seorang nelayan darat berusia 58 tahun yang dilaporkan hilang malam tadi telah ditemukan mati lemas di kawasan Empangan Tasik Chenderoh, Sauk, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata mangsa, Jama Razali dari Kampung Changkat Payong dekat Kati dijumpai pada jam 2.50 petang tadi dan berada tidak jauh daripada kedudukan bot mangsa.

Katanya pada semalam, selepas solat subuh Jama yang juga penoreh getah dilaporkan telah pergi ke tempat kejadian seorang diri dengan menaiki motosikal untuk menjala

Namun kata beliau, isteri mangsa, Rooshushinah Hussin berkata suaminya masih tidak pulang ke rumah dan mengesyaki suaminya lemas.

Dia kemudiannya tampil membual laporan polis di Balai Polis Kati, di sini, pada jam 9.25 malam semalam.

“Pengadu berkata rakan suaminya, Mohd Sabri Nasir memaklumkan kehilangan Jama dan ada bertanyakan sama ada Jama telah pulang ke rumah atau tidak dari menjala.

“Kawan suami pengadu telah memberitahu dia ternampak sampan milik Jama di tasik Chenderoh namun Jama tidak kelihatan.

“Pengadu kemudian berkata Mohd Sabri telah berusaha menjejaki Jama namun gagal selain mendapati sampan milik mangsa telah tenggelam serta mengesyaki mangsa telah lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Razali, jarak antara lokasi kejadian dengan rumah mangsa adalah dianggarkan sejauh 15 kilometer.

“Sejurus laporan, usaha untuk mencari mangsa tidak dapat dijalankan kerana keadaan cuaca yang gelap. Pihak Bomba Kuala Kangsar turut dimaklumkan berkenaan kejadian terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan pada jam 8 pagi hari ini bersama-sama anggota bomba,” tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kangsar mengesahkan perkara tersebut.

“Anggota Bomba bertindak membuat pencarian dengan menggunakan teknik surface searching dengan menggunakan bot Bomba dan dibantu oleh nelayan dan orang awam lain.

“Mayat mangsa yang dijumpai terapung di permukaan air telah diangkat ke dalam bot dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");