Berita Hari Ini

PH mahu Putrajaya agih bantuan M40 melalui e-dompet

Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan supaya menggunakan aplikasi e-dompet bagi mengurus bantuan tunai kepada kumpulan M40.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion, termasuk bantuan tunai kepada mereka yang layak.

Dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak mempunyai pangkalan data bagi individu dalam kumpulan pendapatan M40, majlis setiausaha PH mencadangkan supaya skim e-Tunai digunakan kerana ia sedia mengenal pasti mereka yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun.

Ketika diumumkan dalam Belanjawan 2020, skim E-Tunai Rakyat membolehkan rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun menuntut bayaran tunai RM30 melalui operator e-dompet seperti Grab, Boost dan Touch ‘n Go yang mewakili sebahagian daripada usaha kerajaan PH menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran bukan tunai.

Tidak seperti kumpulan B40, yang datanya tersedia dalam sistem bantuan Sara Hidup (BSH) yang diurus oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PH berkata, pangkalan data itu tidak wujud untuk kumpulan M40.

“Tidak semua pembayar cukai (M40) memfailkan taksiran cukai mereka sebagai isi rumah dan tidak semua dalam kategori M40 mempunyai fail cukai pendapatan,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

“Ini kerana individu yang berpendapatan RM2,500, yang layak mendapat bantuan, mungkin tidak mempunyai fail cukai kerana merekla belum layak membayarnya (cukai).

“Proses pengeluaran juga akan membebankan beberapa pihak kerana jelas ia menimbulkan masalah kepada LHDN,” katanya, merujuk kepada penutupan sementara beberapa khidmat permohonan bantuan lembaga itu.

PH juga mencadangkan supaya dana pelaburan negara Khazanah Nasional dilantik untuk mengagihkan bantuan kepada kumpulan M40 susulan kejayaannya melaksanakan skim E-Tunai Rakyat sebelum ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");