Perak Hari Ini

PKP: Pengurus, Cikgu Tuisyen Antara Ditahan Kerana Main Golf Di Batu Gajah

BATU GAJAH: Jika di Mont Kiara, Kuala Lumpur ada yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berjoging, namun di sini pula ada melakukan kesalahan sama dengan bermain golf.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata tiga lelaki yang dalam lingkungan umur 36 sehingga 67 tahun telah ditahan di sebuah kelab golf dekat sini, pagi tadi.

Dalam Ops Covid-19 itu, beliau berkata mereka yang ditahan itu antaranya pengurus sebuah kelab golf dan seorang guru di sebuah pusat tuisyen.

Turut dirampas, tiga set beg golf yang dimiliki ketiga-tiga lelaki tersebut.

“Pada jam 11.30 pagi ini sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah telah menjalankan rondaan penguatkuasaan PKP di kawasan Batu Gajah.

“Apabila sampai di salah sebuah kelab golf, didapati tiga lelaki sedang bermain golf di atas sebuah padang.

“Pegawai dan sepasukan polis cuba menghampiri mereka, namun mereka telah menaiki buggy dan berpatah balik masuk ke kawasan padang golf. Mereka akhirnya ditahan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");