Berita Hari Ini

500 kenderaan cuba rentas negeri untuk balik kampung diarah patah balik

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 508 kenderaan cuba merentas negeri dengan alasan untuk balik kampung ditahan di sekatan jalan raya.

Beliau berkata polis mengambil tindakan tidak membenarkan mereka merentas negeri dan meminta patah balik.

“Mesyuarat hari ini memutuskan tindakan kompaun boleh dimulakan polis.

“Tak perlulah sampai kompaun. Duit kompaun boleh diguna untuk benda lain. Jadi yang penting elak dari kompaun dan sebagainya, patuh setiap arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat akan dilanjutkan selama 4 minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Kawalan itu sepatutnya tamat pada 12 Mei lalu.

Maklum akan pertindihan tempoh kawalan dengan sambutan perayaan, kerajaan berkata sekatan ke atas perjalanan antara negeri masih berkuat kuasa, namun ziarah dibenarkan dalam negeri dengan had 20 orang pada setiap masa.

Ismail berkata polis juga mengenakan 146 sekatan jalan raya di sempadan negeri seluruh negara dan memeriksa 238,500 kenderaan.

“Maknanya bila kata jangan balik kampung, tolong jangan balik kampung, tapi masih lagi berlaku.

“Sekali lagi saya ingatkan sekatan jalan raya telah bermula dan tindakan diambil, sejak semalam masih lagi polis guna budi bicara dan nasihat mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");