Berita Hari Ini

64 dikompaun kerana ziarah Aidilfitri pada raya ke-4

Polis semalam mengeluarkan sebanyak 64 kompaun membabitkan kesalahan ziarah Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Secara keseluruhan, beliau berkata sebanyak 728 individu dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Daripada 473 kompaun di balai polis, 64 daripadanya atas kesalahan ziarah Aidilfitri

“Ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja, hari raya kedua dan seterusnya adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kunjungan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari raya pertama.

Peraturan yang sama juga terpakai pada ziarah sempena sambutan Hari Gawai di Sarawak dan Hari Kaamatan di Sabah.

Menurut Ismail, polis juga semalam mengarahkan sebanyak 842 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung berpatah balik berbanding 824 pada hari sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, Selangor sekali lagi mencatatkan jumlah percubaan tertinggi merentas negeri dengan 514 kenderaan, diikuti oleh Negeri Sembilan (54 kenderaan), dan Melaka (51).

Sementara itu, Ismail berkata sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Daripada jumlah ini, sebanyak 179 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa dimahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.

Beliau berkata sebanyak 301 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");