Sukan Hari Ini

BAM Dijangka Buat Penstrukturan Semula Jurulatih Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka kembali menyatukan Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock bagi membimbing pemain perseorangan lelaki negara.

BH Online melaporkan kedua-dua jurulatih itu masing-masing ketika ini mengetuai skuad perseorangan lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, jurulatih dari Indonesia, Hendrawan dan Tey Seu Bock difahamkan akan kembali bekerjasama menerusi penstrukturan semula jurulatih yang akan dilaksanakan BAM bermula bulan depan.

Tempat Seu Bock bersama skuad perseorangan wanita dijangka diambil pembantu Hendrawan sebelum ini, Indra Wijaya dan dia akan dibantu Loh Wei Sheng.

Kepakaran kedua-dua bekas jurulatih Datuk Lee Chong Wei itu diperlukan bagi mempercepatkan proses peningkatan prestasi pemain perseorangan yang dibarisi pemain muda selain membantu persiapan Lee Zii Jia menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Kombinasi Hendrawan dan Seu Bock sebelum ini sudah terbukti mampu menghasilkan keputusan positif apabila membantu Chong Wei memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

Malah, Seu Bock sendiri sebelum ini diberi peranan sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita pada 2017 turut menjadi watak penting membantu Chong Wei meraih perak pada Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara berkenaan tetapi mengesahkan badan induk itu akan melakukan penstrukturan semula jurulatih dan dijangka diumumkan presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, hujung bulan ini.

“Kami di peringkat akhir bagi memutuskan mengenai penstrukturan jurulatih ini. Namun, jika tanya siapa jurulatih yang akan ditukar atau apa, saya tidak boleh dedahkan lagi.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami harap boleh umumkan mengenai perkara ini sebelum latihan kembali bersambung pada 1 Jun ini. Datuk Seri NOrza sendiri akan umumkannya,” katanya.

Program latihan skuad badminton negara terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan susulan pandemik COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");