Panasnya Hari Ini
Like

Bicara Kes Rasuah Ku Nan, 29 Jun

May 19, 2020
241 Views
0 Comments
2 minutes read
Bicara Kes Rasuah Ku Nan, 29 Jun

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan disambung pada 29 Jun ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tiga hari untuk menyambung perbicaraan itu pada 29 dan 30 Jun serta 1 Julai.

Beliau juga meminta pihak pembelaan menyerahkan penyataan bertulis saksi kepada pihak pendakwaan seminggu sebelum perbicaraan bermula.

“Perbicaraan yang sepatutnya bersambung pada tarikh yang telah dijadualkan sebelum ini ditangguhkan berikutan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi hari ini ditetapkan tarikh baharu.

“Tertuduh (Tengku Adnan) juga telah selesai memberi keterangan,” kata Hakim Mohamed Zaini semasa sesi pengurusan kes itu di sini hari ini.

Ketika ditanya Hakim Mohamed Zaini, berapa ramai saksi pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan, peguam Cains Tan yang mewakili Tengku Adnan menjawab tiga saksi akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Tengku Adnan, 69, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Januari lepas. Beliau telah selesai memberi keterangannya pada 5 Mac.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintah Tengku Adnan untuk membela diri di atas pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie dalam kes itu.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu, menerima suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga pengarah pengurusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah. – Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.