Perak Hari Ini

Gelandangan Syukur Ditempatkan Di PPG, Azam Mahu Perbaiki Masa Depan

IPOH: Selain berfungsi sebagai tempat perlindungan daripada ancaman wabak Covid-19, Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak, dekat sini turut menyediakan pelbagai aktiviti yang bertujuan mendayaupayakan kesemua penghuni yang ditempatkan di situ.

Ahmad Kamal, 49, salah seorang antara 67 penghuni yang ditempatkan berkata kebajikan dan layanan petugas terhadap mereka sepanjang keberadaan di PPG itu amat baik.

Tambahnya sesi kelas agama yang diadakan di PPG itu turut telah mempertingkatkan ilmu pengetahuan Islam terhadap dirinya.

Selain itu, dia yang berasal dari Gunung Rapat di sini, juga merupakan penghuni yang diberi tanggungjawab bagi melaungkan azan khususnya pada waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Pada masa sama, Muhammad Danial Hakim, 43 mengakui berasa seronok apabila dapat belajar mengaji Al-Quran bersama-sama penghuni lain di situ.

Anak jati Ipoh yang memeluk Islam pada sekitar tahun 2007 itu berkata selepas ini dia akan cuba untuk memperbaiki nasib dari sendiri serta kembali bekerja di sebuah kedai makan di Bandaraya Ipoh.

“Saya mahu kerja kembali di kedai yang saya pernah kerja dahulu. Semasa saya dimasukkan di sini, saya tidak fikirkan tentang majikan saya.

“Tetapi baru-baru ini saya ada cuba menghubungi majikan saya namun dia meminta saya untuk terus kekal di PPG ini,” katanya.

Bagi Shamsuddin, 68, yang berasal dari Ayer Tawar, mengakui suasana di PPG Arena Badminton Perak itu ternyata lebih baik berbanding kehidupannya di luar sebelum ini.

“Di sini saya berasa seronok. Kelas-kelas di sini banyak beri pengajaran yang baik kepada saya. Ini kerana dahulu saya tidak ada rakan atau sesiapa yang boleh beri nasihat atau membimbing saya.

“Ramadan di sini saya sambut lebih baik daripada sebelum ini. Tambahan pula kita dapat belajar ilmu-ilmu agama Islam di sini,” katanya.

Tambahnya, dia yang menetap di Ipoh sejak 17 tahun lalu dan pernah bekerja sebagai juru ukur sebelum ini mengakui mahu memahat azam lembaran baharu dalam kehidupannya selepas ini.

Sehingga kini, daripada 67 penghuni yang ditempatkan, seramai 63 terdiri daripada penghuni lelaki dan selebihnya adalah penghuni wanita

Dalam pada itu, menurut Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun beberapa perancangan telah disusun bagi membela nasib kesemua penghuni di situ selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Antaranya pada minggu hadapan, dua buah syarikat telah berminat untuk membuat padanan kerja terhadap 14 penghuni yang terpilih berdasarkan kemahiran dan kelayakan masing-masing.

“Hari Selasa nanti sebuah syarikat pencuci kereta dan pada hari Rabu pula pengusaha kedai makan masing-masing akan buat sesi temu duga kerja.

“Syarikat tersebut turut akan menyediakan tempat tinggal kepada penghuni yang layak dan diterima untuk bekerja.

“Selain itu, kita juga sedang mencari syarikat-syarikat lain yang berminat untuk mengambil pekerja baru dalam kalangan mereka di sini,” katanya.

Sementara itu,  jelasnya mana-mana penghuni yang berusia 60 tahun ke atas yang telah dikenal pasti dan disaring akan ditempatkan di pusat jagaan dan rumah-rumah kebajikan terpilih.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");