Berita Hari Ini

Gementar Baca Khutbah Aidilfitri

“ALHAMDULILLAH, saya bersyukur berjaya menyampaikan khutbah dengan lancar walaupun pada mulanya terasa gementar untuk melakukan perkara yang tidak pernah saya lakukan sepanjang hayat.

“Sesi latihan yang saya buat selama dua hari sebelum Aidilfitri membolehkan saya menyempurnakan permintaan anggota keluarga untuk membaca khutbah pada pagi hari raya dan saya amat bersyukur kerana Allah memudahkan segalanya,” kata Mohd Huzair Bahrin, 40.

Harian Metro melaporkan ahli perniagaan yang berasal dari Kulai, Johor itu berkata, ketika mula membaca khutbah, beliau dapat merasakan tangan kanannya menggeletar.

Ia kerana seumur hayatnya, beliau tidak pernah naik mimbar di masjid, apatah lagi membaca khutbah Jumaat atau solat sunat Aidilfitri.

Katanya, atas permintaan isterinya, Noor Azmiah Mohamad, 39, untuknya menjadi imam dan khatib, beliau memberanikan diri berbuat demikian.

“Semasa berlatih membaca khutbah, saya terbayang akan kesengsaraan umat Islam di negara lain yang dihujani peluru dan bom yang sudah pasti tidak mampu meraikan Aidilfitri seperti yang kita raikan,” katanya ketika ditemui selepas solat sunat dan membaca khutbah solat berkenaan di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah, hari ini.

Selain isteri yang menjadi makmum, solat itu disertai ibu mentuanya, Aminah Said, 65, dan empat anggota keluarga adik iparnya dan empat anggota keluarga abang iparnya.

Mohd Huzair dan isteri dan keluarga adik iparnya tinggal bersama-sama Aminah di kediaman Aminah, manakala abang iparnya tinggal berhampiran kediaman berkenaan.

Antara kandungan teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang dibacakannya, menyentuh mengenai situasi Aidilfitri tahun ini tidak sama seperti tahun lalu berikutan Covid-19.

“Oleh sebab kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghalang perhimpunan, maka beberapa amalan silaturahim yang menjadi budaya dalam masyarakat kita ketika menyambut Aidilfitri seperti ziarah menziarahi, bersalam-salaman, rumah terbuka dan menziarahi pusara perlu dielakkan bagi menjamin kemaslahatan dan mengelakkan penularan COVID-19.

“Namun, ia bukan penghalang untuk kita meraikan Aidilfitri kerana kita boleh ziarah-menziarahi dengan memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat seperti media sosial sebagai pengganti diri,” katanya.

Sehubungan itu, umat Islam diingatkan agar sentiasa mempraktikkan langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan seperti duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri.

“Segala musibah yang menimpa pasti mempunyai hikmah dan umat Islam harus menghadapi ujian Allah itu dengan penuh keimanan dan kesabaran kerana semakin besar ujian itu, maka semakin besar ganjaran pahala bagi mereka yang sabar dan reda,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");