Berita Hari Ini

Lelaki Dipercayai Mabuk, Tular Langgar Peniaga Mengaku Tak Salah

KUALA KUBU BHARU – Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan mencederakan peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Kang Ming Han, 32, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Menurut laporan Sinar Harian, mengikut pertuduhan, Ming Han pada 22 Mei jam 6.35 petang, didakwa cuba membunuh, dengan melanggar tiga mangsa Norhisham Abdul Rashid, 42, Mahidin Senan, 41, Baharum Ab Manaf,62, dengan menggunakan kenderaan jenis Hilux sehingga menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh disabitkan di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman 20 tahun penjara atau denda.

Tertuduh juga tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis, Shahidan Abdul Khalil, 32, yang bertugas di Balai Polis Bukit Sentosa pada jam 6.35 petang pada tarikh yang sama.

Bagi kesalahan ini tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 90 Akta Polis.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh.

Ahmad Zuhaini turut menjelaskan tertuduh juga masih disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Adhwa Azfar memohon jaminan RM3,000 ekoran tertuduh sebelum ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini tular video berhubung kes lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan peniaga di Bukit Sentosa Hulu Selangor sehingga mendapat kecaman ramai pihak.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.35 petang pada 22 Mei lalu, lelaki berkenaan yang berang bertindak memandu kenderaannya secara melulu sehingga menyebabkan lima individu termasuk seorang wanita dilaporkan cedera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");