Berita Hari Ini
Like

PM mahu hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk

May 30, 2020
254 Views
0 Comments
2 minutes read
PM mahu hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk

“SEBAGAI ketua kerajaan yang juga seorang bapa, saya memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa kemalangan yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani perkara ini,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa kehilangan nyawa.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Sebagai respon kepada keresahan rakyat, saya mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) beliau hari ini.

Memetik Harian Metro menurutnya, beliau difahamkan pindaan akta itu akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

“Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pindaan ke atas Akta 333 diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Saya juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.