Berita Hari Ini

Ramai pelanggan tulis nama ‘Superman’, beri nombor telefon palsu

Ramai pelanggan didapati memberikan butiran diri yang tidak benar kepada pengusaha kedai, seperti memberi nombor telefon palsu dan menulis nama sebagai adiwira komik terkenal, seperti Superman dan Batman, atau Badang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata butiran palsu ini akan menyukarkan pihak berkuasa membantu mereka sekiranya berlaku apa-apa kecemasan, seperti terdedah kepada orang yang dijangkiti Covid-19.

“Kalau jadi apa-apa tak boleh hubungi mereka,” katanya pada sidang media hari ini, ketika ditanya adakah perniagaan masih meminta nombor kad pengenalan pelanggan.

Sebelum ini, kerajaan berkata perniagaan seperti pasar raya hanya perlu mengambil nama dan nombor telefon pelanggan, susulan kebimbangan dan rungutan orang ramai mengenai pengambilan nombor kad pengenalan dan alamat kediaman.

Ismail berkata ada perniagaan meminta kad pengenalan bagi mengesahkan nama yang diberikan.

Beliau meminta semua orang memberikan nama dan nombor telefon sebenar supaya mereka yang terdedah kepada Covid-19 boleh diselamatkan.

“Siapa Superman? Nombor telefon tak betul. Akhirnya susah mereka.”

Nasihat peguam negara

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya akan meminta nasihat peguam negara berhubung tindakan terhadap ibu bapa yang membawa anak kecil ke tempat orang ramai semasa tempoh kawalan Covid-19.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara untuk memasukkan perkara itu dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Ismail akui pihaknya diberitahu masih ramai ibu bapa membawa anak kecil mereka ke pusat beli belah dan pasar raya.

“Kalau nak ambil tindakan kepada ibu bapa mereka, mesti ada di dalam undang-undang atau peraturan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");