Perak Hari Ini

9 Individu Di Ipoh Ditahan Kerana Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol

IPOH: Sembilan individu ditahan Polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di sekitar bandar raya ini dalam tempoh 1 sehingga 21 Jun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Mohamed Nordin Abdullah berkata kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 33 sehingga 56 tahun itu dakan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi kesalahan pertama, hukuman denda tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Manakala hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ipoh telah menjalankan Op Samseng Jalanan bermula 6 Jun sehingga semalam.

Jelasnya, seorang individu telah ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan yang mencurigakan pada jam 3 pagi pada 21 Jun lalu.

“Selepas ditahan, polis mendapati motosikal yang ditunggang adalah motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman mandatori penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda,” ujarnya.

Selain itu, katanya pada operasi sama seorang lagi telah ditahan di Jalan Pasir Puteh, dekat sini pada 14 Jun lalu.

Jelasnya lelaki yang ditahan pada jam 2.45 pagi itu didapati menunggang motosikal dalam keadaan melulu dan berbahaya.

“Individu itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya didapati bersalah dia boleh dijatuhkan hukuman mandatori penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000,” katanya.

Justeru, Mohamed Nordin berkata polis akan terus menjalankan operasi terancang dari semasa ke semasa untuk penguatkuasaan terhadap pesalah lalu lintas di daerah ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");