Perak Hari Ini

Polis Siasat Dakwaan Aktivis Terima Layanan Buruk Semasa Di Lokap

IPOH: Polis sedang menyiasat laporan lima individu yang mendakwa dikasari dan menerima layanan buruk anggota polis sepanjang berada di lokap.

Tiga wanita dan dua lelaki itu ditahan dan didakwa di mahkamah sebelum ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berhimpun di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini pada awal Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya tidak akan melindungi sesiapa dan sekiranya dakwaan salah guna kuasa itu benar, tindakan akan diambil.

Ujarnya siasatan dalaman akan dilaksanakan berpandukan laporan polis yang dibuat.

“Tindakan siasatan dan pertuduhan telah dijalankan atas piket yang dilakukan oleh pihak terlibat. Proses perbicaraan sedang berjalan. Jadi kita tunggu proses perbicaraan tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu dua laporan polis dibuat hari ini oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia atas dakwaan layanan buruk oleh pihak polis ke atas lima ahli mereka yang ditahan sebelum ini.

Difahamkan tiga laporan polis telah dibuat di sini semalam berkenaan dakwaan sama.

Salah seorang yang telah ditahan yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan, M Sarasvathy, mendakwa semasa berada di lokap, dia bersama dua wanita lain yang ditahan dihambur dengan kata-kata kesat selain menerima ugutan kekerasan oleh anggota polis.

Dia turut mendakwa salah seorang yang ditahan turut dipaksa untuk menanggalkan rantai adat perkahwinan.

“Salah seorang daripada kami telah dipaksa untuk menanggalkan rantai perkahwinan yang mana mengikut kepercayaan masyarakat India, rantai itu hanya boleh ditanggalkan apabila kematian suami.

“Namun akibat diugut, dia menanggalkan rantai itu secara tanpa rela,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Dia juga mendakwa tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang diamalkan sepanjang ditahan dan berada di lokap.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Nasional, Roziah Mohd Hashim berkata beliau membantah tindakan yang dikenakan terhadap lima individu yang ditahan.

Malah dia mendakwa tindakan perhimpunan aman pada 2 Jun lalu mematuhi SOP PKP kerana ianya berhimpun kurang daripada 20 orang.

“Saya membantah penangkapan ini kerana berpiket ini hak pekerja. Ketika itu walaupun dalam tempoh PKP, namun kita mengikuti SOP PKP antaranya memakai pelitup muka, mengamalkan jarak sosial dan mengambul suhu badan setiap yang hadir,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, lima individu ditahan polis selepas menyertai tunjuk perasaan secara aman di hadapan HRPB terhadap majikan mereka Edgenta UEMS dalam usaha menuntut hak mereka.

Terdahulu media turut melaporkan, ia mungkin tunjuk perasaan secara aman, tetapi ketiga-tiga wanita dan dua lelaki itu ditangkap kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");