Berita Hari Ini

Ahli Politik Dipanggil Bantu Siasatan Polis Ikut SOP

KUALA LUMPUR: Setiap tindakan polis dalam memanggil mana-mana pemimpin politik tidak seharusnya dilihat sebagai mempunyai agenda atau motif tertentu.

BH Online melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ia bagi melengkapkan proses siasatan laporan yang dibuat mengikut garis panduan berdasarkan peruntukan undang-undang, termasuk merakam percakapan.

“Saya menafikan dakwaan kononnya tindakan polis bertujuan menakut-nakutkan atau mengambil kesempatan ke atas pemimpin politik tertentu.

“Sebagai contoh kes membabitkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. Tindakan kami adalah berdasarkan undang-undang dan laporan seorang individu mendakwa (Yeoh) mengeluarkan kenyataan yang mungkin dianggap menghasut, jadi kami harus siasat bagi menentukan sama ada ia benar atau tidak,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Abdul Hamid berkata, siasatan harus dilakukan secara terperinci selepas pihak polis mendapati ada kemungkinan wujud unsur memfitnah Yeoh berhubung laporan berkenaan.

Katanya, pegawai penyiasat tidak mempunyai kaedah lain kecuali memanggil Yeoh ke Bukit Aman untuk membantu siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada.

“Ini bukan untuk menakut-nakutkan sesiapa. Saya tidak akan mengizinkan pihak polis melakukan sebarang tindakan yang boleh dianggap mempunyai motif politik,” katanya.

Beliau menegaskan, Yeoh berpeluang menjelaskan keadaan sebenar berhubung dakwaan terhadap dirinya apabila dipanggil untuk proses merakam percakapan.

“Jika polis mendapati ada elemen unsur fitnah terhadap Ahli Parlimen Segambut itu dengan tujuan tidak baik, kami diberikan kuasa untuk menyiasat pihak bertanggungjawab.

“Polis akan bersikap adil dan tidak mempunyai masalah membenarkan kebebasan bersuara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");