Berita Hari Ini

Babi Hutan Bahayakan Keselamatan Penduduk Di Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri akan menggandakan usaha membanteras babi hutan yang jumlahnya dikatakan semakin bertambah sehingga mengancam keselamatan penduduk.

BH Online melaporkan EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee, berkata langkah itu susulan seorang pekerja kilang di Alor Gajah, Melaka, yang meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor babi hutan, di Kampung Brisu, pagi kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, akan meningkatkan pemantauan dan operasi bagi membanteras haiwan berkenaan.

Katanya, setiap laporan serta aduan daripada orang ramai, akan diteliti dan diambil tindakan segera, menerusi operasi membanteras babi hutan, khususnya di kawasan perkampungan penduduk.

“Kami bertindak berdasarkan aduan yang diterima. Insya-Allah, saya sebagai EXCO bertanggungjawab serta PERHILITAN, akan bertindak segera.

“Sekarang pun saya sudah mengarahkan jabatan berkenaan untuk bertindak setiap hari bagi memastikan makhluk perosak itu benar-benar dihapuskan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu, di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pekerja kilang yang koma selepas merempuh seekor babi hutan ketika menunggang motosikal dari kediamannya di Taman Wira Indah, Lubok Cina ke kilang tempatnya bekerja di Pegoh.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi kelmarin, mangsa, Zulkarnain Mokhtar, 32, cedera parah di bahagian tulang tengkuk, manakala rusuk kanannya patah.

Rakan mangsa yang menunggang motosikal di belakangnya, mendakwa, seekor babi hutan tiba-tiba muncul dari sebelah kiri jalan sebelum meluru ke tengah jalan dan dirempuh mangsa.

Norhizam berkata, beliau bersama beberapa anggota PERHILITAN negeri sudah menjalankan beberapa operasi khas besar-besaran sejak minggu lalu, khususnya dalam daerah Melaka Tengah.

Antara kawasan yang diberi tumpuan, Kandang, Air Leleh, Kampung Semabok Dalam, Solok Bukit Baru, Kampung Jambatan Duyong dan Bukit Pulau.

“Komitmen daripada Jabatan PERHILITAN amat baik selama ini dan kami akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa, termasuk di Pulau Besar dan beberapa pulau di negeri ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");