Sukan Hari Ini
Like

Human Voyage Janji Selesai Bayaran LTdL 2020 Sebelum 11 Julai

June 15, 2020
529 Views
0 Comments
2 minutes read
Human Voyage Janji Selesai Bayaran LTdL 2020 Sebelum 11 Julai

PENGANJUR kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd memberi jaminan akan menjelaskan wang hadiah kejohanan itu selewat-lewatnya 11 Julai ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, jaminan itu disampaikan oleh wakil syarikat tersebut pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya minggu lepas.

“Saya turut menghadiri perjumpaan berkenaan dan wakil Human Voyage berjanji akan melunaskan bayaran wang kemenangan berjumlah RM823,000 kepada semua pemenang termasuk pelumba antarabangsa pada tarikh berkenaan.

“Sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran berkenaan, hak penganjuran yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada mereka sehingga tahun depan mungkin boleh ditarik balik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Human Voyage sebelum ini mendakwa kelewatan pembayaran wang kemenangan kepada pemenang LTdL 2020 adalah disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, Abu Samah mendedahkan beberapa kejohanan berbasikal yang dirancang pada tahun ini termasuk Tour de Peninsula dan Tour de Femina sah ditunda ke tahun depan berikutan penganjur menghadapi kekangan masa untuk memastikan kelancaran kedua-dua pertandingan.

Berdasarkan perancangan awal, Tour de Femina dijadualkan dari 5 hingga 10 September ini manakala Tour de Peninsula pula pada 13-17 Oktober ini.

“Bagi pelumba kebangsaan, mereka akan meneruskan latihan seperti biasa kerana saya difahamkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Skuad kebangsaan sebenarnya mendapat jemputan menyertai dua kejohanan di Korea Selatan dan Thailand pada Oktober ini. Sekiranya kerajaan menarik balik sekatan berkenaan, kita mungkin akan menghantar pelumba kita untuk bertanding pada kedua-dua kejohanan itu,” kata Abu Samah.

Komen & Pendapat

Comments are closed.