Perak Hari Ini

Bazar Ria Terbesar Di Perak Akan Dibuka Di Kampar

KAMPAR: Sebuah bazar ria terbesar di Perak yang menempatkan 500 peniaga bakal diwujudkan di sini pada pertengahan Julai ini.

Seperti Gerbang Malam di Ipoh, ‘Kampar Night Walk 2020’ akan beroperasi pada setiap malam di atas tanah berkeluasan 2.8 ekar di Taman Kampar Barat, dekat sini.

 

Bazar ria tersebut menyasarkan sekitar 1,000 orang pengunjung yang terdiri daripada kalangan masyarakat tempatan dan sekitar seperti dari Gopeng, Batu Gajah, dan Malim Nawar.

Menurut Penyelaras Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Perak, Azwan Ramli bazar ria itu juga merupakan projek rintis yang mana sekiranya berjaya meraih sambutan menggalakkan, ia berkemungkinan akan turut di buka ke seluruh negeri ini.

“Bazar ria ini kita jadikan ia projek rintis yang pertama di Perak. Sekiranya ia berjaya dan nampak keberkesanannya, kita akan jadikan ia projek rintis bagi usahawan-usahawan kecil.

“Yang mana konsep ‘night town’ atau bazar itu kita akan bawa ke seluruh Perak secara berfasa,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini. Hadir sama wakil-wakil daripada Pertubuhan Sosial dan Kebajikan Usahawan Kampar.

Selain itu beliau berkata antara kelainan ‘Kampar Night Walk 2020’ dengan bazar ria lain yang ada di Perak ialah pihak pengurusan akan menyediakan gerai atau kanopi yang kekal di tapak bazar ria.

Susulan dengan norma baharu, jarak antara gerai akan dikenakan sekurang-kurangnya 2 meter selain pengawal keselamatan akan ditempatkan di bazar ria tersebut setiap hari.

Jelas beliau pada asal pihak penganjur menyasarkan 1,000 tapak perniagaan namun bagi mengekang penularan COVID-19, jumlah gerai dihadkan kepada 500 gerai.

Tambahnya, bazar yang akan dibuka secara berfasa itu kini menerima penyertaan hampir 70 peniaga.

Mengulas lanjut beliau berkata antara kriteria pemilihan peniaga termasuk mempunyai sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain mereka harus terdiri daripada kalangan anak jati Perak.

“Saya dapati kaedah yang pengurusan bazar ria bawa ini baik. Sebagai contoh menyediakan kemudahan pinjaman dari bank kepada peniaga yang tidak mempunyai modal perniagaan.

“Ini memudahkan urusan perniagaan itu untuk berjalan dengan baik. Justeru kami di KPKT mengalu-alukan usaha ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan bazar ria merangkap Pengarah Urusan CFG Management, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali berkata antara keistimewaan pada Kampar Night Walk 2020 ialah termasuk penyediaan tandas dan surau bagi keselesaan pengunjung.

Katanya waktu operasi bazar ria itu akan bermula pada jam 6 petang sehingga 12 tengah malam.

“Dengan adanya bazar ria ini, ia secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi masyarakat tempat selain menambah baik sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");