Berita Hari Ini

Dengan Bersatu kian stabil, Muhyiddin kini mahu dapat mandat baru

Dengan isu pertukaran kerajaan secara ‘mengejut’ awal tahun ini tampak kian reda, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan sedang mempertimbang bagi mendapatkan mandat untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.

Perkara itu dilaporkan Straits Times Singapura yang memetik sumber, bahawa presiden Bersatu itu telah bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya mengejut paling awal tahun ini.

Sekiranya ia berlaku, negara mungkin akan menyaksikan pilihan raya pertama PN menentang Pakatan Harapan, andainya gabungan pembangkang masih kukuh pada masa itu.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan bahawa Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk mengadakan pilihan raya mengejut dalam mesyuarat MPT pada 4 Jun lalu.

“Dalam mesyuarat itu memang Muhyiddin menyatakan setelah keadaan menjadi stabil, dia berhasrat untuk mengadakan PRU secepat mungkin…Kita pun tidak mahu lagi dituduh tiada mandat rakyat.

“Jadi beliau memang berhajat begitu. Tapi tidak dibincangkan bila (mahu mengadakan pilihan raya).

“Tapi memang berhajat nak buat PRU secepat mungkin jika keadaan telah stabil, sama ada keadaan negara ataupun dalam parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Faiz Na’aman

Katanya lagi, walaupun Muhyiddin tidak menyebutkan tentang garis masa untuk PRU, mesyuarat MPT menyambut baik rancangan itu dan melihatnya sebagai cara untuk menyelesaikan konflik dalaman Bersatu.

Sejak PN mengambil alih kerajaan pada awal Mac lalu, Bersatu berpecah dua dengan majoriti ahli Parlimen parti dan anggota dewan tertinggi menyokong Muhyiddin sementara kumpulan yang lebih kecil berpihak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dan beberapa pemimpin parti yang menyokongnya telah dipecat dari Bersatu tetapi mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Bagaimanapun, satu cabaran besar bagi Muhyiddin, yang telah menjadi subjek pendebatan, adalah soal pembahagian kerusi dengan sekutunya dalam PN, iaitu Umno dan PAS.

Dalam PRU lalu, Bersatu dan Umno bertembung di lebih 48 kerusi Parlimen, dan Bersatu hanya menang 13 daripadanya.

Bersatu kemudian menarik 16 anggota Parlimen dari Umno dan 10 dari PKR.

Meskipun masih awal untuk melihat sama ada Bersatu akan dibenarkan menuntut semua 39 kerusi yang dipegangnya jika pilihan raya mengejut berlaku, Faiz percaya isu tersebut dapat diuruskan apabila PN menjadi satu gabungan rasmi.

“Memang sasaran kita (untuk jadikan PN gabungan rasmi) tahun ini. Memang hendak dipercepatkan dan mereka sedang bincang. Saya difahamkan perbincangan termasuk pengagihan kerusi juga,” katanya lagi.

Namun Faiz berkata mereka belum dimaklumkan status terbaru berhubung perkara itu.

“Apa yang saya tahu kepimpinan Umno bertemu dgn Muhyiddin pada 7 Jun tapi kami tidak diberitahu hasil mesyuarat itu,” katanya.

Menurut laporan Straits Times semalam, pertemuan tersebut menyaksikan pemimpin Bersatu dan Umno setuju untuk membentuk “jawatankuasa teknikal” mengenai pembahagian kerusi.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini bahawa laporan mengenai kewujudan “jawatankuasa teknikal” tidak benar.

Setakat ini, Umno berada dalam dalam dua gabungan, iaitu BN bersama-sama MCA dan MIC serta Muafakat Nasional dengan PAS.

Pada 2018, Umno dan PAS bertembung di 105 kerusi Parlimen, dan PAS juga bertembung dengan parti komponen BN lain melebihi 49 kerusi.

Umno dan PAS telah berjanji untuk tidak lagi bertanding di kerusi sama dalam pilihan raya akan datang. Dengan kemasukan Bersatu dalam isu ini, peruntukan kerusi dalam PN menjadi satu perkara yang menarik untuk diperhatikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");