Berita Hari Ini

Kadar Pengangguran Negara Melonjak 5 Peratus, Libatkan 778,800 Orang

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di negara ini melonjak kepada lima peratus iaitu seramai 778,800 orang pada April tahun ini.

Astro Awani melaporkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, menerusi Survei Tenaga Buruh (STB), angka tersebut merupakan peningkatan 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya dalam pengumuman Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia April 2020 hari ini.

Menurut beliau, pada April lalu, penduduk bekerja menurun 156,400 orang iaitu penurunan satu peratus tahun ke tahun kepada 14.93 juta orang.

“Penduduk bekerja yang paling terjejas adalah di sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan dan makanan dan minuman; kesenian, hiburan, rekreasi dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.

“Dari segi bulan ke bulan, jumlah penduduk bekerja menurun 299,000 iaitu penurunan dua peratus berbanding bulan sebelumnya, Mac 2020 iaitu 15.23 juta orang,” katanya.

Berdasarkan survei itu juga, Mohd Uzir berkata, jumlah rakyat yang bekerja sendiri adalah sebanyak 2.59 juta orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan seperti di pasar tani, pasar malam, katering, gerai, pekerja bebas (freelancer), pekebun kecil, pengusaha pelancongan termasuk pengusaha aktiviti umrah dan ziarah serta lain-lain.

“Kumpulan pekerja ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.

“Berdasarkan survei ini, PKP telah memberi kesan kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April 2020.

“Bagaimanapun, kumpulan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja,” ujarnya.

Jelasnya, semua sektor ekonomi terkesan sepanjang tempoh PKP Fasa 2 dan Fasa 3 yang berlaku pada April 2020 terutamanya perkhidmatan tidak penting.

Malah, pasaran buruh Malaysia pada Mei 2020 dijangka terus terjejas berikutan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mei kerana perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.

“Dalam tempoh ini, syarikat akan cenderung mengecilkan saiz pekerja mereka untuk meringankan beban kos operasi walaupun telah diramalkan pengurangan dalam pendapatan perniagaan mereka.

“PKP Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun 2020 di mana pengaktifan semula perniagaan untuk lebih banyak sektor dan perjalanan antara negeri dibenarkan.

“Pelaksanaan ini dijangka akan memacu perniagaan dan mendorong peningkatan pasaran kerja, terutama dalam industri berkaitan pelancongan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");