Perak Hari Ini

KDN Di Gesa Gantung Penerbitan Buku Hina Jata Negara – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menggantung penerbitan dan pengedaran buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang didakwa menghina Jata Negara.

BH Online melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut meminta KDN menyiasat penulis, penyunting dan penerbit buku terbabit jika wujud motif biadab serta menghina lambang rasmi negara.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB), hari ini.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial dan FB, lukisan mirip jata negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Asyraf Wajdi berkata, imej dipaparkan pada buku itu menggambarkan ada pihak tidak peduli dengan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016.

“Nampaknya akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");