Perak Hari Ini

Biarkan Lot, Rumah Kosong Terbiar Semak-samun: 11 Kompaun Dikeluarkan

IPOH: Sebanyak 11 kompaun dengan nilai berjumlah RM2,7500 telah dikenakan ke atas pemilik lot kosong atau rumah terbiar di sekitar bandar raya ini yang membiarkan kawasan mereka dipenuhi semak-samun, sehingga 25 Jun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata dalam tempoh sama, sebanyak 760 notis penghapusan semak-samun ke atas lot kosong atau rumah terbiar di keluarkan.

Namun katanya hanya 60 peratus atau 459 penerima notis mematuhi arahan tersebut.

“Sebanyak 104 lot kosong dan rumah terbiar telah dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Tuntutan kos pembersihan daripada pemilik dengan tambahan caj perkhidmatan sebanyak 15 peratus dikenakan kerana pemilik gagal ditemui.

“Sebanyak 197 lot kosong atau rumah terbiar masih dalam tindakan MBI,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis MBI Jun 2020 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Justeru beliau berharap agar semua pihak terutama kepada pemilik lot kosong atau rumah terbiar untuk memastikan ianya bebas daripada semak-samun, sebagai usaha mengawal penularan kes denggi dan Chikungunya.

“MBI hanya mengeluarkan notis penghapusan kacau ganggu di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 sekali dalam tempoh setahun.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik untuk mematuhi notis dan menjalankan kerja pembersihan secara berkala supaya harta mereka tidak menjadi kacau ganggu persekitaran,” tambah beliau.

Pada masa sama, ujarnya sehingga 26 Jun sebanyak 19 lokaliti kes demam denggi dikesan di sekitar bandar raya ini.

Lima lokaliti titik panas adalah di Kampung Simee dengan 20 kes; Teluk Kurin B (7 Kes); Kampung Baru Pasir Pinji (25 Kes); Kampung Baru Bercham (8 Kes) dan Kampung Sungai Tapah Tambahan (16 Kes ).

Manakala bagi lokaliti wabak tidak terkawal dikesan di Kampung Tersusun Jelapang Jaya, Pekan Razaki, Rumah Pangsa Seri Connoly, Taman Eden dan Kampung Manjoi sementara terdapat sembilan lokaliti wabak terkawal di sekitar Bandaraya Ipoh.

“Bagi wabak Chikungunya pula sejumlah 18 Lokaliti Wabak dengan dua lokaliti wabak titik panas iaitu di Kampung Simee dengan 12 Kes dan Kampung Bercham 7 kes.

“Selain itu, terdapat empat lokaliti wabak tak terkawal dan 12 lokaliti wabak terkawal dengan jumlah kumulatif kes sehingga 20 Jun sebanyak 244 kes Chikungunya di sini,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");