Berita Hari Ini

Polis tumpaskan geng pecah rumah, kedai ketika PKP

Polis berjaya menumpaskan Geng Pejal Koya yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan premis kedai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penahanan 21 individu termasuk dalang serta pembeli barangan curi dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan Gombak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata kejayaan itu hasil usaha pasukan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Nurulhuda berkata, dengan penangkapan itu juga, pihaknya berjaya menyelesaikan kes pecah rumah dan premis kedai sekitar kawasan Klang Utara dalam tempoh terbabit.

“Tangkapan dibuat bermula 2 Jun lalu hingga semalam membabitkan 16 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Suspek terdiri daripada tujuh warga tempatan dan 14 warga asing membabitkan 10 Indonesia, tiga warga Bangladesh serta seorang Nepal.

“Dalang dalam kes ini ialah seorang lelaki warga Indonesia berumur 30-an menggunakan gelaran nama Koya yang ditangkap dalam serbuan kedua,” katanya dalam sidang media di IPD Klang Utara di sini, hari ini.

Nurulhuda berkata, siasatan ke atas suspek mendapati ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencing negatif.

Dalam serbuan dan tangkapan itu, Nurulhuda berkata, pihaknya merampas pelbagai disyaki barang curi dianggarkan bernilai RM40,000.

“Polis merampas 23 telefon bimbit; kad tambah nilai (28); televisyen (2); komputer riba (3); baju T (200); jam tangan berjenama (1,200) dan 1,005 helai seluar jeans,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah memecah masuk rumah dan premis kedai yang ditinggalkan atau tidak berpenghuni pada waktu awal pagi sepanjang PKP.

“Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa yang rumah dan premis dipecah masuk, nilai kerugian dianggarkan mencecah RM100,000,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");