Panasnya Hari Ini

Syed Saddiq Tiada Hak Guna Nama Armada, Bersatu – Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM – Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masih menggunakan jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional pada satu sidang media yang diadakan semalam sekali gus didakwa turut memberi gambaran salah sehingga menjejaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sinar Harian melaporkan beliau berkata, pada 29 Mei lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah memberikan penjelasan terperinci bahawa keahlian Syed Saddiq dan empat yang lain telah gugur secara automatik.

Menurutnya, dengan itu Syed Saddiq bukan lagi Ketua Armada Nasional dan bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar pilihan beliau.

“Namun begitu, beliau tidak berhak menggunakan nama Armada atau Bersatu untuk apa-apa tujuan sekalipun, terutama dalam percubaan berterusan beliau untuk campur tangan soal dalam parti serta melontarkan pelbagai tohmahan.

“Saya berharap agar Syed Saddiq dan barisan kepimpinan Armada pusat tidak lagi mengelirukan akar umbi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan segala dasar dan keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam satu sidang media semalam Syed Saddiq dilaporkan mendedahkan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu terdapat seorang menteri pernah mengajak beliau datang ke pejabatnya untuk mempelawa beliau meninggalkan parti Bersatu.

Menurut Syed Saddiq, menteri berkenaan yang ketika itu merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang ahli politik yang kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, segala tohmahan yang dibuat Syed Saddiq pada sidang media itu bukan sahaja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya.

“Perlu ditegaskan bahawa selain daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti iaitu badan eksekutif tertinggi di luar perhimpunan agung, majoriti cawangan dan bahagian termasuklah sayap Armada dan Srikandi sudah menyatakan sokongan mereka kepada Tan Sri Presiden (Muhyiddin) yang juga merupakan pemangku pengerusi.

“Tindakan yang diambil Muhyiddin hanya semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu dan menstabilkan kerajaan hari ini.

“Ini adalah tanggungjawab beliau yang sah di sisi perlembagaan parti dan tugas beliau sebagai pemimpin negara,” katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, soal kebersamaan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) adalah sesuatu yang ‘akademik’ dan ia telah diputuskan oleh MPT dan dilaksanakan, malah sebuah kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri ke-8 juga sudah terbentuk.

“Bersatu sebagai sebuah parti politik sentiasa memastikan keharmonian organisasi dan memelihara nama baiknya di mata awam dan anggota parti yang setia sekali-kali tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keluarga besar ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");