Panasnya Hari Ini

Umno Sabah Nafi Sedang Beli Wakil Rakyat Untuk Tukar Kerajaan

Umno Sabah menafikan tuduhan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal bahawa parti itu dan bekas ketua menteri Musa Aman sedang “membeli wakil rakyat” bagi menjatuhkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Warisan itu adalah bersifat provokasi melampau serta hasutan.

Beliau berkata, kerajaan Warisan adalah kerajaan pintu belakang dalam erti kata sebenarnya dan kerajaan itu goyang disebabkan ketidakupayaan mereka mentadbir negeri.

“Kekalutan dalam pentadbiran kerajaan Warisan ditambah lagi Mohd Shafie dibarisi kabinet dan pemimpin yang mengamalkan sindrom penafian, kurang bekerja untuk rakyat, itu menjadi punca kerajaan Warisan goyang.

“Tiada kena mengena dengan dakwaan yang Umno sedang melakukan gerak kerja untuk merampas kuasa daripada kerajaan yang asalnya dari belakang.

“Warisan perlu sedar bahawa kerajaan yang ditubuhkan mereka secara pintu belakang tidak pernah kukuh sejak dari awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, Mohd Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna mendakwa ada usaha oleh pihak lawan untuk membeli wakil rakyat Warisan.

Beliau berkata, tekanan politik dikenakan terhadap pemimpin Warisan hanya kerana parti itu dilihat tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Dalam negara berdepan dengan Covid-19, berlaku pula ‘Covid politik’ yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah dengan cubaan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota parlimen Warisan,” kata Mohd Shafie.

Mohd Shafie berkata, kleptokrasi masih berlaku apabila bekas Musa yang juga bekas ketua Umno Sabah dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah.

Mohd Shafie mempersoalkan bagaimanana individu yang mempunyai 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dibebaskan dan pemimpin Warisan pula dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, secara sinis Bung mengingatkan pemimpin Warisan bahawa beliau tenang berdepan pertuduhan di mahkamah tanpa perlu mengeluarkan provokasi melampau.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain berkata dia tidak menafikan iklim politik di negeri itu ketika ini sedang “panas”.

Abdul Aziz juga tidak menolak khabar angin yang mengatakan wakil rakyat Warisan dan Pakatan Harapan (PH) negeri itu menyokong Perikatan Nasional (PN) semakin kencang.

“Senario politik Sabah sedang panas, sangat volatile. Desas-desus untuk wakil-wakil rakyat Warisan-PH untuk menyokong kerajaan PN semakin kencang.

“Terutamanya, wakil-wakil rakyat yang berasakan kepimpinan Mohd Shafie yang tidak mempunyai halatuju membangunkan negeri, mengamalkan nepotisme atau ‘Sempornasasi’ dan mengamalkan polisi mesra pendatang tanpa izin (PATI),” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Abdul Aziz lagi beliau yakin pemain-pemain politik di Sabah matang dan akan meletakan kepentingan negeri itu sebagai keutamaan.

“Saya percaya pemain-pemain politik di Sabah mengamalkan politik matang. Mereka akan senantiasa meletakkan kepentingan Sabah di atas kepentingan yang lain,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");