Perak Hari Ini

25 Bekas Banduan Berjaya Dibantu Jalani Kehidupan

IPOH – Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, Persatuan Sahabat Penjara Malaysia telah membantu hampir 25 orang bekas banduan bagi menjalani kehidupan selepas tamat tempoh hukuman.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata kebanyakan mereka kini menceburi bidang penternakan ayam, pembuatan biskut dan katering.

Katanya panel penilai yang dilantik akan menilai semua permohonan banduan atau bekas banduan yang mempunyai perancangan bagi meneruskan kehidupan di luar berdasarkan kriteria tertentu.

“Permohonan dikemukakan Pengarah Penjara Negeri. Kemudian ia disalurkan kepada ibu pejabat penjara dan seterusnya kepada Persatuan Sahabat Penjara Malaysia.

“Kita ada panel penilai dan ianya akan dinilai berdasarkan kriteria tertentu. Sekiranya menepati, persatuan akan membantu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Sahabat Penjara Malaysia menambah persatuannya turut akan membantu mana-mana bekas banduan yang masih tidak berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing.

“Sekiranya ada yang tidak berjaya, kita masih memberikan peluang untuk memperbaiki perniagaan mereka. Di sini kita merasakan mereka memerlukan bantuan untuk terus berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Peralatan Katering kepada seorang bekas banduan di Pusat Perindustrian Lahat, di sini, hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Pengarah Penjara Perak, Shukri Saad itu menyaksikan penyerahan barangan berupa mesin membuat dodol, peti ais, dapur gas dan periuk nasi kepada Awi Abdullah.

Kesemua barangan yang bernilai RM5,000 itu disumbangkan Persatuan Sahabat Penjara Malaysia.

Awi, 36, yang dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan dibebaskan pada Mac 2017 sedang merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya yang menghasilkan rendang tok, dodol dan serunding.

“Selepas saya tamat menjalani tempoh hukuman, saya kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang tafsir Al-Quran.

“Kemudian, saya datang ke Perak dan bekerja di dewan makan di sebuah sekolah. Daripada itu saya mula nampak peluang untuk mendapatkan tender kantin sekolah.

“Sekarang saya sudah dapat dan sekarang saya ingin pula mengembangkan lagi perniagaan dalam industri pembuatan makanan,” katanya yang kini mempunyai empat pekerja.

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu berkata dia mendapat idea untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebelum ini saya hanya berniaga melalui tempahan sahaja. Selepas ini mungkin saya akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk pasarkan produk saya selain membantu mendapatkan persijilan halal,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu dia berkata penjara telah berjaya mendidiknya mengenal erti sebenar kehidupan selain mendedahkan kepadanya peluang serta ruang untuk memperbaiki diri untuk masa hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");