Perak Hari Ini

Bayi Dicampak Dari Tingkat 2 Di Bercham: Polis Ambil Keterangan Teman Lelaki Ibu

IPOH: Polis telah mengambil keterangan teman lelaki kepada ibu seorang bayi yang ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata selain sampel DNA teman lelaki yang berusia 18 tahun, polis turut telah mengambil keterangan ibu bayi yang berusia 16 tahun.

“Keterangan perempuan itu telah diambil. Dia sebutkan yang ada menjalinkan hubungan bersama lelaki itu dan mereka ada berjumpa sebelum ini.

“Bayi itu masih kritikal. Walau bagaimanapun kita masih tidak mengetahui punca kecederaan bayi sama ada cedera akibat dicampak atau ekoran si ibu yang dalam kelam kabut hendak mengeluarkan bayi daripada tingkap

“Kita masih menunggu laporan daripada pihak hospital untuk mengesahkan perkara itu,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan telah mencampak bayi dari tingkat atas yang terletak pada bahagian belakang tingkat atas rumah berkenaan dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.

Pemeriksaan di bilik suspek yang masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah berkenaan dari Batu Caves, Selangor mendapati terdapat kesan tompokan darah pada jeriji tingkap serta cadar biliknya.

Mengulas lanjut Asmadi berkata teman lelaki yang turut berasal dari Selangor itu dipercayai dikenali ibu suspek.

“Siasatan awal mendapati remaja perempuan itu telah bersalin di atas katil di biliknya. Dia kemudian cuba untuk mencampakkan bayi dari biliknya.

“Namun mungkin jeriji di tingkap bilik telah menyukarkannya, dia bertindak cuba mencampakkan bayi itu dari bilik di sebelah,” jelas beliau.

Tambahnya keadaan bayi masih kritikal selai sedang menerima rawatan di hospital.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Dalam perkembangan berasingan, Asmadi berkata polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat aktif aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan dan Tambun sejak empat bulan lalu.

Katanya, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan semalam berhampiran di sebuah pusat makanan di Bercham yang dipercayai sedang menunggu pihak yang mahu mendapatkan bekalan dadah.

“Hasil pemeriksaan menjumpai satu plastik hitam yang di dalamnya mengandungi tiga bungkusan plastik yang setiap satunya berisi dadah jenis Heroin anggaran berat 1.4 kilogram. Ia mampu diedarkan kepada 500 penagih.

“Nilai rampasan bernilai RM12,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");