Panasnya Hari Ini

Bekas CEO 1MDB Nafi Bertemu Jho Low, Rancang Seleweng Wang 1MDB

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar bahawa beberapa pertemuan telah diadakan antara ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa tokoh penting dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk merancang penyelewengan berjuta-juta dolar wang milik dana pelaburan negara itu.

Bernama melaporkan perkara itu didedahkan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed semasa menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Saksi kesembilan pendakwaan itu bagaimanapun menafikan bahawa beliau menghadiri pertemuan itu yang dirancang oleh Jho Low serta turut dihadiri oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Tim Leissner dan Roger Ng, Ketua Pegawai Kewangan 1MBD Terence Geh serta penasihat umumnya, Jasmine Loo.

Shahrol Azral: Saya tidak menghadiri pertemuan seperti itu.

Wan Aizuddin: Jadi anda tidak bersetuju?

Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju.

Semalam, mahkamah dimaklumkan bahawa Goldman Sachs telah dilantik mewakili 1MDB pada Februari 2012 dalam pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.

Wan Aizuddin: Bagi melakukan penyelewengan dengan bantuan Goldman Sachs, anda telah ditugaskan oleh Jho Low dan Roger Ng untuk memastikan bahawa Goldman Sachs dilantik sebagai penasihat kewangan 1MDB?

Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju.

Wan Aizuddin: Saya katakan kepada anda bahawa anda secara aktif telah menyokong semua cadangan Goldman Sachs dalam semua mesyuarat lembaga pengarah 1MDB termasuk pengambilalihan Tanjong Energy yang terlalu mahal?

Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju.

Wan Aizuddin: Jadi anda tidak pernah bertemu dengannya (Jho Low) di luar Malaysia?

Shahrol Azral: Saya hanya bertemu dengannya di Abu Dhabi semasa perlumbaan Formula 1 dan kali terakhir saya bertemu dengan beliau ialah pada 2015 di Beijing, itu sahaja.

Terdahulu, Wan Aizuddin merujuk saksi itu kepada minit mesyuarat pada awal penubuhan 1MDB, ketika dana pelaburan negara itu masih kenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang menyaksikan pihak istana membangkitkan persoalan mengenai Jho Low dalam mesyuarat yang dihadiri Shahrol Azral.

Wan Aizuddin: Saya membangkitkan perkara ini kepada anda adalah kerana berdasarkan pandangan pihak istana, mereka bimbang Jho Low akan menyalahgunakan nama Istana. Pada ketika ini, meskipun anda yakin Jho Low bekerja demi kepentingan syarikat, bukankah perkara ini akan mencetuskan kecurigaan anda?

Shahrol Azral: Jho Low telah memaklumkan saya bahawa isu ini akan timbul, jadi ia tidak mencetuskan kecurigaan saya.

Wan Aizuddin: Sejujurnya saya rasa perkara ini sukar dipercayai. Anda berurusan dengan pihak Istana namun anda memilih untuk mempercayai Jho Low berbanding orang lain?

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu juga berkata Jho Low bertindak dengan niat baik dan menafikan bersubahat dengan ahli perniagaan tersebut untuk menggelapkan wang 1MDB.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tiada siasatan dilakukan terhadap Terence Geh apabila sejumlah US$500 juta (RM1.8 bilion ketika itu) dipindahkan daripada akaun 1MDB pada 2012.

Wan Aizuddin: Beliau (Terence Geh) yang mengemukakan jumlah ini, maksud saya melalui surat arahan, anda setuju dan menurunkan tandatangan?

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu turut menolak cadangan peguam bahawa beliau telah melanggar kewajipan fidusiara untuk bertindak demi kepentingan syarikat.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");