Perak Hari Ini

Donat 80 Sen Noor Jahan Bakery, Resipi Turun-temurun Lebih 100 Tahun

IPOH: Walaupun usia perniagaan menjangkau lebih 100 tahun namun perniagaan ‘Noor Jahan Bakery’ yang terletak di Jalan Raja Ekram di sini, masih kekal relevan sehingga hari ini.

Mana tidaknya, donat yang dijual dengan harga 80 sen setiap satu sentiasa diminati ramai terutama yang membesar dengan kedai roti tersebut.

Menurut pengusaha, Habib Rahiman P. Mohamad Salleh, 63, walaupun proses membuat donat memakan masa namun antara sebab dia meletakkan harga sedemikian adalah bertujuan mahu memberi peluang lebih ramai merasai resipi turun-temurun keluarganya itu.

“Pada asalnya ia dijual dengan harga RM1. Namun kini ia dijual 80 sen setiap satu. Dengan harga sedemikian akan lebih ramai orang akan dapat membeli.,” katanya ketika ditemui PerakToday, hari ini.

Katanya lagi proses untuk menyiapkan donat tersebut memakan masa hampir dua jam sebelum ia siap untuk dijual.

Ia termasuk dengan proses menguli tepung, menggoreng, menyalut gula, dan sebagainya.

Katanya lagi selain pelanggan tetap, ‘kuasa tular’ di media sosial turut membantu perniagaan Noor Jahan Bakery kekal sehingga kini.

“Apabila tiba musim cuti sekolah, pelanggan seperti dari Kuala Lumpur ada juga yang datang ke sini.

“Ada juga pelancong luar yang datang disebabkan ada membaca tentang kedai kami di media sosial,” ujarnya lagi.

Tambah Habib Rahiman, selain donat antara makanan lain yang menjadi pilihan para pelanggannya ialah roti bantal, roti benggali dan kek buah.

Sementara itu mengulas tentang perniagaannya, Habib Rahiman berkata ia bermula pada tahun 1902 oleh datuknya sebelum ia diteruskan oleh bapanya.

Berbekalkan resipi dari India, dia berkata bapanya bersama dua adik-beradiknya membantu menjualkan roti yang dibuat datuknya di sekitar bandar ini dengan menaiki basikal.

Kini dia dibantu oleh anaknya Mahathir Mohammed, 33, selain Noor Jahan Bakery terus menyajikan lebih daripada 10 jenis roti, kek dan pastri.

“Kami di sini setiap hari buat donat. Kami tidak simpan untuk dijual pada esok. Resipi semua makanan yang dijual pula kekal sama sejak dahulu.

“Para pelanggan sukakan donat yang kami buat kerana ianya teksturnya lembut berbanding di tempat lain. Itu antara kelainan kami,” kata Habib Rahiman.

Noor Jahan Bakery dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 10 malam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");